Para SUKMA 2026: Korbankan masa bersama keluarga, Noorhelmi balas dengan tiga emas

9 Sep 2026, 4:55 AM
Para SUKMA 2026: Korbankan masa bersama keluarga, Noorhelmi balas dengan tiga emas

SHAH ALAM, 9 SEPT: Pengorbanan masa bersama keluarga terbalas buat pelari para Selangor Muhammad Noorhelmi Mohd Rabi apabila mencipta sensasi dengan meraih tiga pingat emas pada Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Muhammad Noorhelmi yang beraksi dalam kategori LT12 muncul juara acara 100 meter (m), 200m dan 400m, dengan kesemua catatan kemenangannya turut menghasilkan rekod kejohanan.

“Memang saya sangat gembira dan tidak sangka dapat tiga pingat emas. Tahun ini memang sangat bermakna sebab saya dapat pecahkan ketiga-tiga rekod kejohanan.

“Kalau ikutkan, sasaran saya tahun ini cuma nak pecahkan rekod 400m, tetapi Allah SWT beri rezeki lebih untuk pecahkan ketiga-tiga rekod,” katanya.

Untuk rekod, Muhammad Noorhelmi turut merupakan penyandang juara bagi ketiga-tiga acara berkenaan pada edisi Para SUKMA di Sarawak.

Menurutnya, sokongan keluarga menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik, namun komitmen sebagai atlet menyebabkan beliau perlu mengorbankan banyak masa bersama isteri dan anak-anak.

Katanya, beliau terpaksa mengorbankan banyak masa sehingga jarang pulang ke rumah dan tidak dapat meluangkan waktu bersama keluarga seperti diinginkan.

“Rahsia untuk konsisten adalah disiplin, percaya kepada diri sendiri dan sanggup berkorban banyak benda.

"Buat masa sekarang, pengorbanan paling besar adalah masa bersama keluarga. Saya memang jarang balik rumah dan jarang tidur bersama isteri serta anak-anak. Kalau ikutkan tahun ini boleh kira berapa kali sahaja saya dapat tidur dengan mereka,” katanya.

Justeru, Muhammad Noorhelmi tidak lupa memberikan penghargaan kepada isterinya yang sentiasa memahami tuntutan kerjayanya sebagai atlet, selain ibu bapanya yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak dirinya mula menceburi bidang sukan.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada isteri yang faham kerjaya saya sebagai atlet serta mak dan ayah yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak kecil.

"Walaupun mereka tidak minat sukan, tetapi mereka tetap memberikan sokongan yang sangat padu,” katanya.

Menurutnya, kata-kata isterinya juga menjadi pegangan setiap kali berdepan detik sukar sepanjang perjalanan sebagai atlet.

“Dia selalu cakap, kalau dah mula, teruskan dan jangan patah balik. Kalau rasa nak berputus asa, fikir masa yang sudah dikorbankan, fikir anak dan diri sendiri.

“Dia juga selalu ingatkan saya tentang disiplin, jangan putus asa serta konsisten, dan yang paling penting adalah sentiasa ingat Allah SWT dan jangan tinggalkan solat,” katanya.

Selepas kejayaan di Para SUKMA, Muhammad Noorhelmi kini mengalihkan fokus kepada misi lebih besar apabila bakal membuat penampilan sulung di pentas Sukan Asia Para Nagoya 2026.

Mengakui dirinya masih boleh dianggap sebagai ‘junior’ di pentas berkenaan, beliau mahu memanfaatkan pengalaman atlet senior seperti Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah yang banyak membantunya menerusi latihan dan sesi sparring.

Beliau berharap dapat memberikan yang terbaik pada kejohanan itu dan menyasarkan untuk memperbaharui rekod peribadinya dan menyifatkan kejayaan menaiki podium sebagai satu lagi rezeki.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.