Pergolakan PAS–BERSATU lemahkan PN Selangor, beri kelebihan Kerajaan Perpaduan

31 Dis 2025, 3:04 AM
Pergolakan PAS–BERSATU lemahkan PN Selangor, beri kelebihan Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM, 31 DIS: Kemelut yang membadai Perikatan Nasional (PN), khususnya di Selangor dijangka memberi kelebihan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan, kata penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM).

Mengibaratkan PN kini sudah terkubur di Selangor, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata tidak ada lagi gambaran jelas dalam kerjasama politik gabungan PAS dan BERSATU itu.

“Bagi saya PN di Selangor telah terkubur dengan apa yang berlaku. Sudah tidak ada lagi gambaran jelas dalam PN itu mampu berkembang dan mengekalkan kestabilan hubungan antara satu sama lain.

“Inilah peluang kepada Kerajaan Perpaduan untuk memperlihatkan kestabilan politik dan hubungan jujur yang diterjemahkan dalam keutuhan pentadbiran negeri Selangor. Ambil pengajaran daripada krisis PN.

“Saya yakin, Kerajaan Perpaduan di Selangor juga ada peluang cerah untuk tambah kerusi pada pilihan raya akan datang, mengukuhkan kestabilan dan memfokuskan tugas membela rakyat berbanding hanya berpolitik sepanjang masa,” katanya kepada Media Selangor.

Semalam, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa Khamis ini.

Tindakan tersebut disusuli Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin yang turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Setiausaha PN Selangor berkuat kuasa Khamis ini.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani meramalkan gabungan PAS dan BERSATU akan terus berpecah di Selangor, sekali gus menjejaskan kedudukan mereka dalam sidang Dewan Undang Negeri (DUN).

“Impaknya krisis ini sedang berlaku di semua negeri dan sedang berlaku di Selangor. PAS dan BERSATU akan berpecah dan mungkin juga kedudukan mereka akan berubah di dalam DUN.

“Perlu lihat kedudukan mereka, siapa yang lebih banyak kerusi pembangkang. Apa pun ia akan memberi kesan kepada kelemahan pembangkan di peringkat negeri dan nasional,” katanya.

Dr Mohd Azizuddin juga menjangkakan PAS dan BERSATU tidak akan bergerak sendiri berikutan corak politik negara yang memerlukan beberapa gabungan parti politik untuk meraih sokongan pengundi pelbagai latar belakang.

Menurutnya, meskipun PAS merupakan antara blok terbesar di Parlimen namun tidak banyak parti politik yang dapat menerima parti Islam berkenaan berikutan pendekatan politik dan imej yang dibawa mereka.

“PAS walaupun dia blok terbesar, tidak banyak parti yang boleh terima pendekatan politik mereka. Itu yang PAS mahu pujuk Umno untuk Muafakat Nasional (MN). Tetapi ini sukar kerana PAS pernah tikam Umno.

“Dengan krisis yang berlaku ini, saya lihat Umno boleh menang kembali kerusi-kerusi mereka dulu. Jadi saya melihat agenda MN sukar berlaku. Kalau PAS bergerak sendiri, ia agak mencabar kepada mereka,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Dr Syaza Shukri berkata PAS dan BERSATU tidak mempunyai pilihan lain kecuali berbaik semula, terutamanya jika pilihan raya diadakan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, katanya, kerjasama tersebut mungkin tidak sekukuh seperti sebelum ini selain kedua-dua parti akan mengambil tindakan berjaga-jaga yang lebih tinggi kerana sudah hilang kepercayaan.

“Saya jangka PAS akan kembali bekerjasama dengan BERSATU tetapi dalam keadaan terpaksa, ketegangan kerana kita nampak masalah mereka akan berlarutan sedikit walaupun PN mungkin akan cari pemimpin baharu.

“Tetapi mereka perlu cari peminpin yang diterima semua. Kalau mereka tidak dapat pemimpin sebegitu, ia akan timbulkan masalah. Cuma ia bukan masalah besar kepada PAS, PAS mungkin boleh bergerak sendiri,” katanya.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, PN di Selangor memenangi 22 kerusi DUN dengan 12 kerusi dimenangi BERSATU dan 10 milik PAS.

PN turut mendominasi sokongan masyarakat Melayu luar bandar khususnya di utara Selangor, membabitkan kerusi di Sabak Bernam, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Hulu Selangor.