Para SUKMA: Empat emas hadiah istimewa Durratun Musfirah buat umi, ayah

8 Sep 2026, 9:34 AM
Para SUKMA: Empat emas hadiah istimewa Durratun Musfirah buat umi, ayah

SHAH ALAM, 8 SEPT: Empat pingat emas yang diraih perenang para Selangor, Durratun Musfirah Nor Ahmad pada Para Sukan Malaysia (Para Sukma) menjadi hadiah istimewa buat ibu bapanya yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepadanya.

Durratun Musfirah, 17, muncul juara dalam empat acara iaitu 50 meter kuak dada SB14, 100m kuak kupu-kupu S14, 100m kuak lentang S14 dan 4x100m rampaian S14 campuran.

Lebih bermakna, kejayaan itu hadir dengan kehadiran ibu dan bapanya yang sentiasa berada di sisi untuk menyaksikan perlumbaan serta memberikan dorongan sepanjang kejohanan.

Menurutnya, sokongan kedua-dua ibu bapanya selain nasihat jurulatih menjadi antara kunci yang membantunya memberikan aksi terbaik.

“Untuk kejohanan ini, apa yang menjadi kunci adalah saya bawa apa yang coach nasihat. Dia kata kalau nak jadi yang bagus kena buat macam ini.

“Umi pun selalu bagi sokongan dan dorongan untuk buat yang terbaik. Umi dan ayah juga selalu datang tengok saya, jadi saya nak banggakan mereka,” katanya.

Daripada empat acara yang disertainya, Durratun Musfirah mengakui 100m kuak kupu-kupu S14 menjadi cabaran paling besar berikutan persaingan sengit, selain gaya kuak berkenaan bukan kekuatannya.

“Saya berasa amat gembira dengan empat emas ini. Dalam semua acara, saya rasa 100m kuak kupu-kupu yang paling mencabar sebab saingan amat sengit dan gaya itu memang kelemahan saya.

“Jadi, apabila perlu menyertai acara 100m kuak kupu-kupu, ia agak mencabar bagi saya,” katanya.

Selepas kejayaan cemerlang di Para Sukma, Durratun Musfirah tidak mahu berhenti setakat itu apabila menyasarkan untuk membawa cabaran Malaysia pada Para ASEAN Games tahun depan.

Malah, dia berharap dapat menghadiahkan sekurang-kurangnya satu pingat gangsa buat negara pada kejohanan berkenaan.

“Sasaran saya selepas ini adalah untuk ke Para ASEAN Games tahun depan dan harap dapat sumbang sekurang-kurangnya gangsa untuk Malaysia pada kejohanan itu nanti,” katanya.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.