Skor Matematik Malaysia turun, KPM mahu tindakan serius

8 Sep 2026, 11:36 AM
Skor Matematik Malaysia turun, KPM mahu tindakan serius

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pencapaian Matematik Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 merosot kepada 397 mata berbanding 409 mata pada 2022.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penurunan itu perlu diberi perhatian serius dan tidak seharusnya dianggap sekadar perubahan dalam satu pusingan penilaian, lapor Astro AWANI.

“Itu harus membuatkan kita melihat masalah ini dengan lebih serius, bukan dengan lebih defensif,” katanya.

Bagaimanapun, pencapaian Malaysia dalam dua lagi domain utama menunjukkan peningkatan apabila skor Sains naik kepada 419 mata berbanding 416 mata pada 2022, manakala Bacaan meningkat kepada 393 mata daripada 388 mata.

Fadhlina berkata, dapatan PISA perlu dilihat melangkaui pencapaian akademik semata-mata, khususnya dari segi keupayaan murid menggunakan pengetahuan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

“Pendidikan bukan hanya tentang apa yang seorang anak tahu pada usia 15 tahun.

“Pendidikan yang sebenar terlihat pada cara mereka membuat keputusan dan bertindak dalam kehidupan menggunakan ilmu yang mereka sedia ada,” katanya.

Malaysia turut mencatat 484 mata dalam penyelesaian masalah komputasional dan berada dalam kelompok enam negara dengan pencapaian terbaik.

Menurutnya, kemahiran itu merangkumi kebolehan murid memecahkan masalah rumit kepada bahagian lebih kecil, mengenal pasti corak dan maklumat penting serta menyusun langkah penyelesaian.

Keupayaan berkenaan semakin penting ketika kecerdasan buatan (AI) dan enjin carian membolehkan maklumat serta jawapan diperoleh dengan pantas.

“Apabila mesin semakin pandai memberikan jawapan, manusia mesti semakin pandai bertanya dan menilai,” katanya.

Fadhlina berkata, kemahiran berkenaan turut diterapkan menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 bagi mempersiapkan murid menghadapi keperluan masa hadapan.

Namun, beliau mengakui keupayaan murid menggunakan logik dan menyelesaikan masalah masih belum diterjemahkan kepada pencapaian Matematik yang lebih baik.

Justeru, Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik (RTPM) memberi penekanan lebih besar terhadap pemahaman konsep, penaakulan dan penyelesaian masalah.

“Kita tidak mahu Matematik menjadi perlumbaan mencari jawapan. Kita mahu Matematik melatih anak-anak mencari jalan kepada jawapan,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.