SHAH ALAM, 9 MAC: Pendekatan pembelajaran berinspirasikan gaya Gen Z yang diperkenalkan pempengaruh matematik, Adib Fahim, membantu menjadikan subjek matematik lebih mudah difahami dan menyeronokkan kepada pelajar.
Pendekatan itu diterapkan menerusi Program Klinik Algebra EduCourage yang disertai puluhan pelajar Tingkatan 1 hingga 5 dalam kalangan penghuni rumah kebajikan Rumah Kasih Harmoni, Paya Jaras di sini semalam.
Menurut Adib, program berkenaan memberi penekanan kepada pembelajaran interaktif, termasuk penggunaan strategi gamifikasi, sekali gus membantu pelajar lebih fokus dan aktif sepanjang sesi pembelajaran.

“Pendekatan ini dilaksanakan melalui konsep pembelajaran berstruktur iaitu sesi pengajaran selama 30 minit diikuti 30 minit aktiviti latihan menggunakan modul khas.
“Idea pengajaran ini banyak diperoleh daripada platform media sosial seperti TikTok, yang popular dalam kalangan generasi muda supaya pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih mudah memahami konsep matematik,” katanya.

Program sehari anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia, Agensi Fokuslah, Heveatex Sdn Bhd serta Media Selangor Sdn Bhd.
Sementara itu, seorang peserta, Aliya Qistina, 17, berkata gabungan pembelajaran dan permainan bukan sahaja menjadikan kelas lebih menyeronokkan, malah membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya.

“Di sekolah, cikgu perlu mengejar masa, tetapi di sini kami mempunyai kira-kira tiga jam untuk belajar dengan lebih mendalam,” katanya.
Seorang lagi peserta, Rasya Raditya, 17, berkata teknik yang didedahkan dalam program itu memudahkannya memahami penyelesaian soalan algebra.

“Di sekolah, guru lebih menekankan aspek asas, tetapi program ini memperkenalkan teknik baharu yang memudahkan kami menjawab soalan matematik,” katanya.








