Dakwaan gempa besar Indonesia sebelum hujung tahun tidak saintifik

8 Sep 2026, 7:42 AM
Dakwaan gempa besar Indonesia sebelum hujung tahun tidak saintifik

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sebarang dakwaan yang menetapkan tarikh tertentu bagi kejadian gempa bumi besar di Indonesia tidak berasaskan sains kerana teknologi ketika ini masih belum mampu meramalkan masa, lokasi dan magnitud gempa secara tepat.

Pensyarah Kanan Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Suraya Hilmi Hazim berkata, zon subduksi atau megathrust di Indonesia sememangnya aktif secara tektonik dan mempunyai potensi jangka panjang untuk mencetuskan gempa kuat, lapor Harian Metro.

Namun, katanya, dakwaan gempa besar akan berlaku pada tarikh atau tempoh tertentu perlu dilihat dengan berhati-hati dan dirujuk kepada sumber rasmi.

“Sentiasa rujuk pakar, terutama pihak berautoriti seperti Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) yang memantau zon berkenaan secara aktif,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas laporan tular di media sosial mendakwa Indonesia berpotensi dilanda gempa bumi besar sebelum akhir tahun ini dengan magnitud antara 7.0 hingga 9.0, khususnya melibatkan Jakarta, Pulau Jawa dan kawasan sekitarnya.

Suraya berkata, sekiranya gempa kuat berlaku berhampiran Sumatera atau Selat Sunda, gegaran sekunder berkemungkinan dirasai di kawasan barat Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh sistem amaran awal tsunami serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tindakan yang perlu diambil ketika berlaku gegaran.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) boleh terus memperkukuh koordinasi bersama pihak berkuasa tempatan, bomba, polis dan Jabatan Meteorologi Malaysia dalam menghadapi risiko bencana.

Beliau berkata, tahap kesedaran mengenai gempa bumi di Semenanjung masih rendah kerana Malaysia bukan berada dalam zon gempa aktif secara langsung.

“Rakyat perlu cakna saluran maklumat rasmi kerajaan dan amalkan prinsip kalau tidak pasti, jangan kongsi.

“Jangan tularkan maklumat yang tidak betul. Media juga perlu memainkan peranan supaya tidak menimbulkan panik dalam masyarakat,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.