ad

Gempa bumi lemah Segamat: Kronologi, Punca dan Pemantauan

31 Ogos 2025, 2:00 AM
Gempa bumi lemah Segamat: Kronologi, Punca dan Pemantauan
Gempa bumi lemah Segamat: Kronologi, Punca dan Pemantauan
Gempa bumi lemah Segamat: Kronologi, Punca dan Pemantauan

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sejarah gempa bumi di Semenanjung merekodkan beberapa peristiwa antaranya di Bukit Tinggi, Pahang; Kenyir, Terengganu; Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan Manjung-Temenggor, Perak.

Selain itu, Johor juga pernah mengalami gegaran pada 1922, 2021 dan 2023 yang berpunca daripada aktiviti seismik di luar pesisir Sumatera.

Terbaharu, insiden gempa bumi berulang di Johor di daerah Segamat. Enam kali insiden itu melanda iaitu pada 24 Ogos jam 6.13 pagi dan 9 pagi.

Selepas itu, disusuli kali ketiga pada 27 Ogos (8.59 pagi) dan seterusnya pada 28 (7.56 malam) dan 29 Ogos (4.24 pagi). Malah, sekali lagi insiden sama berulang pada 30 Ogos jam 7.29 pagi dengan magnitud 2.7.

Gempa lemah kerana pengaktifan semula sesar, bukan gunung berapi

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) merekodkan gempa bumi yang berlaku di Segamat beberapa kali itu sebagai gempa bumi lemah.

Insiden ini menunjukkan plat benua Semenanjung masih menyimpan tenaga atau tegasan tektonik yang boleh dilepaskan dari semasa ke semasa dan menghasilkan pergerakan bumi.

Ketua Pengarahnya, Abdul Halim Hamzah memaklumkan gempa bumi yang berlaku di Segamat pada 24 Ogos lalu berpunca daripada pergerakan blok kerak bumi.

Jelas Halim lagi, analisis awal seismologi mendapati gempa bumi ini berpunca daripada pergerakan sesar mendatar sinistral.

Menurutnya, blok kerak bumi di utara sesar bergerak ke arah barat manakala blok di selatan sesar pula bergerak ke arah timur.

“Kejadian ini menunjukkan berlakunya pengaktifan semula sesar dan kedalaman gempa bumi cetek mengesahkan ia berpunca daripada pergerakan kerak benua bukan aktiviti gunung berapi atau subduksi laut dalam,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau menjelaskan, pihaknya melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia melaksanakan pemantauan.

Katanya, analisis saintifik dilakukan terhadap kawasan yang dijangka menerima ancaman risiko gempa bumi yang berlaku sama ada berpusat dalam negara atau negara jiran.

“Hasil pemantauan dan analisis ini akan diterjemahkan sebagai langkah kesiapsiagaan yang proaktif demi keselamatan rakyat, perlindungan infrastruktur dan pembangunan komuniti khususnya kawasan yang terdedah kepada ancaman gempa bumi.

“Jabatan Meteorologi juga akan terus memantau keadaan ini dan memaklumkan dari semasa ke semasa. Gegaran yang berlaku di Johor merupakan gempa bumi lemah dan dijangka tidak memberi impak besar,” katanya.

Tiada risiko gempa kuat di Segamat

Jabatan Meteorologi Malaysia menjelaskan kemungkinan tidak akan berlaku kejadian gempa bumi kuat di Segamat.

Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan gegaran magnitud yang berlaku lemah iaitu di bawah paras lima.

"Untuk pengetahuan, jika magnitud bawah lima ia kategori lemah, manakala mencapai enam sederhana dan selebihnya kuat. Gempa bumi ini berlaku disebabkan penyimpanan tenaga yang terlalu kuat sehingga tidak boleh dibendung dan meletus.

"Apabila meletus, yang akan berlaku berikutnya iaitu gempa susulan tenaga berkurangan... itu kelazimannya berlaku kuat dahulu diikuti lemah.

"Kita jangka hampir tidak ada gegaran besar kecuali jika melibatkan zon sesar lain," katanya.

Tiada alat untuk kesan gempa bumi

Menjelaskan lebih terperinci, Mohd Hisham berkata setakat ini tidak ada teknologi yang mampu mengesan insiden gempa bumi lebih awal.

"Sistem amaran awal mungkin ada bagi insiden tsunami atau cuaca buruk tetapi tidak bagi gempa bumi. Ini kerana kedua-dua insiden ini boleh dijangka kerana ada pergerakan.

"Tetapi untuk gempa bumi tidak ada lagi teknologi untuk bangunkan sistem pengesanan awal. Pelbagai teori dibuat saintis, penulisan dan kajian tetapi belum ada lagi.

"Buat masa ini, apa yang ada adalah penggera untuk cerap kejadian yang sedang atau telah berlaku," ujarnya.

Sesar aktif tidak dikesan di Semenanjung

Sesar aktif tidak dikesan di SemenanjungJabatan Mineral dan Geosains Malaysia pula memaklumkan hasil kajian pemetaan sesar aktif yang dilakukan menunjukkan tiada sesar aktif di Semenanjung.

Jelas ketua pengarahnya, sesar aktif hanya dikesan di Sabah biarpun pergerakan kecil.

"Kajian ini dibuat pada Rancangan Malaysia Ke-11 dari 2016 hingga 2020 meliputi kawasan 10,000 kilometer persegi. Berdasarkan kajian, kita kenal pasti sesar-sesar di Semenanjung dan yang dikategori sesar aktif utama.

"Namun, daripada segi data didapati tidak menunjukkan sesar aktif tetapi di Sabah ada. Namun, buat masa ini, kita pantau setiap sesar sekiranya ada perkembangan terbaru,"kata Datuk P.Geol. Zamri Ramli

Beri penerangan kepada penduduk

Zamri menjelaskan, antara langkah perlu diambil adalah mengadakan libat urus bersama orang awam dengan memberi penjelasan terperinci berhubung keadaan terkini.

"Kita lihat apa berlaku sekarang orang awam panik dan sebab itu perlu beri penjelasan. Perlu didik orang awam jika magnitud begini, apa kesannya... boleh runtuh atau tidak.

"Kena pergi ke lapangan beritahu orang awam. Jika kawasan rumah tanah gambut, mesti ada gegaran tetapi adakah akan runtuh berdasarkan magnitud berkenaan. Pada saya risiko adalah penduduk dan perlu diberi keutamaan," katanya.

FAQ Gempa Bumi Lemah di Segamat

1) Adakah Segamat berisiko mengalami gempa bumi kuat?

MetMalaysia menjangka hampir tiada kebarangkalian gempa kuat berdasarkan corak gegaran lemah semasa, melainkan melibatkan zon sesar lain.

2) Bolehkah gempa bumi diramal?

Belum ada teknologi ramalan awal gempa bumi. Sistem sedia ada hanya mengesan kejadian yang sedang atau sudah berlaku.

3) Mengapa gegaran boleh dirasai di kawasan tertentu?

Faktor keadaan tanah (contoh: tanah gambut) dan kedudukan relatif kepada sesar boleh mempengaruhi intensiti rasa gegaran.

4) Adakah Semenanjung mempunyai sesar aktif?

Pemetaan JMG setakat RMK-11 tidak mengesan sesar aktif di Semenanjung; pemantauan diteruskan dari semasa ke semasa.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.