14 hari hilang, keluarga mahu SMART terus cari mangsa banjir Nepal

8 Sep 2026, 7:23 AM
14 hari hilang, keluarga mahu SMART terus cari mangsa banjir Nepal

SHAH ALAM, 8 SEPT: Selepas 14 hari tanpa sebarang khabar, keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang dalam kejadian banjir besar di Nepal terus menaruh harapan agar nasib insan tersayang dapat dirungkai secepat mungkin.

Wakil keluarga, Dr R Manivannan berkata, selagi tiada pengesahan rasmi mengenai nasib mangsa, mereka enggan berputus asa dan mahu operasi pencarian diteruskan, lapor Astro AWANI.

“Jika masih hidup, carilah mereka dan bawa pulang. Jika sudah tiada, cari, kenal pasti jasad mereka dan bawa pulang ke tanah air,” katanya.

Menurutnya, selepas dua minggu, kemungkinan menemukan mangsa dalam keadaan selamat semakin rendah kecuali mereka terkandas atau berlindung di lokasi yang belum dikenal pasti.

“Selepas 14 hari, kami berpandangan kebarangkalian untuk menemukan rakyat Malaysia yang masih hidup semakin rendah, melainkan terdapat mangsa yang ditemui terkandas atau berlindung di lokasi tertentu yang masih belum dikenal pasti,” katanya.

Manivannan berkata, operasi wajar digerakkan menerusi dua landasan serentak, iaitu meneruskan pencarian mangsa yang mungkin masih hidup dan mengenal pasti mereka yang dipercayai terkorban.

Beliau berkata, tempoh 14 hari juga menjadikan proses pengecaman secara fizikal semakin sukar, justeru kepakaran forensik dan Disaster Victim Identification (DVI) perlu digerakkan segera.

“Pasukan forensik dan DVI perlu digerakkan segera, termasuk mempercepatkan proses pengambilan dan pemadanan DNA,” katanya.

Menurutnya, kepakaran khusus dalam bidang pengenalpastian mangsa turut perlu dimanfaatkan bagi mempercepatkan proses berkenaan.

Katanya, negara seperti Singapura dan Jepun juga menggerakkan kepakaran khusus bagi membantu proses pengenalpastian mangsa dalam insiden bencana seumpama itu.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.