SMART bawa kepakaran teknologi bantu operasi SAR bencana di Nepal

8 Sep 2026, 7:28 AM
SMART bawa kepakaran teknologi bantu operasi SAR bencana di Nepal
SMART bawa kepakaran teknologi bantu operasi SAR bencana di Nepal
SMART bawa kepakaran teknologi bantu operasi SAR bencana di Nepal
SMART bawa kepakaran teknologi bantu operasi SAR bencana di Nepal

SHAH ALAM, 8 SEPT: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dikerahkan ke Nepal dilengkapi kepakaran teknologi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dalam situasi bencana.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang berkata, walaupun beliau tidak mengetahui secara terperinci teknologi khusus yang dibawa dalam misi berkenaan, anggota SMART mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk mengendalikan teknologi bersesuaian, lapor Berita Harian.

“Pasukan SMART dilengkapi pengetahuan dan pemahaman mengenai teknologi ini serta cara penggunaannya,” katanya pada sidang media selepas Kongres Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (ESTCON) 2026 Ke-9, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, 11 pegawai dan anggota dihantar ke Nepal dengan kepakaran dalam SAR, pengendalian dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.

Pasukan itu turut membawa 12.4 tan peralatan termasuk kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat terowong, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan trak muatan 10 tan.

Lih Kang berkata, teknologi memainkan peranan penting dalam operasi bencana termasuk mengesan mangsa, mengenal pasti mayat serta memantau ancaman yang boleh membahayakan anggota penyelamat.

Beliau merujuk tragedi tanah runtuh Batang Kali di Selangor apabila pelbagai teknologi digunakan, termasuk analisis asid deoksiribonukleik (DNA) bagi membantu proses pengecaman mangsa.

Teknologi angkasa lepas turut dimanfaatkan untuk mengesan risiko tanah runtuh susulan, sekali gus membantu memastikan keselamatan pasukan penyelamat di lokasi.

“Teknologi sememangnya memainkan peranan dalam semua misi SAR ini,” katanya.

Menurutnya, pengalaman itu membuktikan keperluan Malaysia terus memperkukuh pembangunan teknologi tempatan bagi meningkatkan keupayaan operasi menyelamat dan tahap kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.