Selangor tidak lulus pusat data jika bekalan air, elektrik tidak cukup

8 Sep 2026, 7:02 AM
Selangor tidak lulus pusat data jika bekalan air, elektrik tidak cukup
Selangor tidak lulus pusat data jika bekalan air, elektrik tidak cukup

KUALA LANGAT, 8 SEPT: Kerajaan Negeri memantau rapat pembangunan pusat data di Selangor, khususnya berkaitan kapasiti bekalan air dan elektrik ke industri berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri mengambil serius kebimbangan masyarakat dan tidak akan meluluskan sebarang projek pusat data sekiranya bekalan air serta elektrik tidak mencukupi.

“Setiap permohonan pembinaan pusat data perlu dapatkan kelulusan daripada kerajaan Persekutuan dibawah Data Center Task Force dan mereka dapatkan lampu hijau daripada pembekal air dan elektrik.

“Kita amat sedar mengenai kebimbangan orang ramai berkaitan bekalan elektrik dan air dan kita memantau perkara ini secara rapat. Tanpa bekalan air yang mencukupi, sudah tentu pusat data tidak boleh diluluskan di Selangor,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Milikan Kosong Fasa 1 dan Pelancaran Fasa 2 Taman Perindustrian Pintar NCT (NSIP) yang turut dihadiri EXCO Pelaburan Ng Sze Han di Mukim Tanjung Dua Belas, di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menerima replika kunci sebagai simbolik perasmian NCT Smart Industrial Park ketika Majlis Penyerahan Milikan Kosong Fasa 1 NCT Smart Industrial Park pada 8 September 2026. Foto Pejabat Menteri Besar Selangor

Amirudin menambah, Kerajaan Negeri yakin kapasiti bekalan air sedia ada dan akan datang mampu memenuhi keperluan, khususnya dengan pelaksanaan Skim Bekalan Air Rasau yang dijangka menyumbang tambahan kapasiti sebanyak 350 juta liter sehari (MLD).

Malah, katanya, Selangor turut menggalakkan pengendali pusat data menggunakan sistem kitar semula air serta teknologi yang mampu mengurangkan penggunaan air bagi tujuan penyejukan.

“Kita juga galakkan proses kitar semula air di mana air itu tidak dilepaskan sebaliknya dikitar semula dalam kawasan pusat data. Ini semua kita sedang usahakan.

“Kita juga galakkan penggunaan selain daripada air untuk penyejukan. Setakat ini semuanya terkawal walaupun jumlah pusat data agak tinggi, dan bekalan juga mencukupi,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 39 projek pusat data diluluskan di negeri ini bagi tempoh 2021 hingga 2025 dengan potensi menjana lebih 2,400 peluang pekerjaan tetap.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han dilapor berkata, pembangunan industri pusat data dilaksanakan secara mampan menerusi penyelarasan bersama dengan pelbagai pihak berkaitan, sekali gus memastikan aspek infrastruktur serta pematuhan alam sekitar sentiasa diberi perhatian.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.