Para SUKMA: Keadaan terkawal, tiada atlet alami masalah akibat jerebu - Menteri

8 Sep 2026, 4:04 AM
Para SUKMA: Keadaan terkawal, tiada atlet alami masalah akibat jerebu - Menteri
Para SUKMA: Keadaan terkawal, tiada atlet alami masalah akibat jerebu - Menteri
Para SUKMA: Keadaan terkawal, tiada atlet alami masalah akibat jerebu - Menteri

SHAH ALAM, 8 SEPT: Tiada atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dilaporkan mengalami masalah kesihatan berpunca daripada jerebu setakat ini, meskipun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan berada pada tahap tidak sihat.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya sentiasa memantau keadaan kesihatan atlet bagi memastikan mereka tidak terjejas akibat pencemaran udara.

Menteri Belia dan Sukan Dr Muhammed Taufiq Johari bercakap kepada media selepas lawatan ke temasya Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan KOMBES, Shah Alam pada 8 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Alhamdulillah tiada atlet cedera atau berdepan masalah kesihatan melibatkan jerebu. Hanya (kecederaan) disebabkan permainan (acara sukan) dan ini perkara biasa.

“Yang berpunca khusus dari jerebu, tak ada setakat hari ini. Kita akan sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa supaya tahap kesihatan atlet sentiasa terjamin,” katanya kepada media.

Beliau berkata ketua setiap kontinjen perlu segera melaporkan kepada urusetia sekiranya atlet berdepan masalah kesihatan, khususnya berkaitan pernafasan.

“Setiap atlet juga perlu mengisi borang dan jalani pemeriksaan berkala supaya kesihatan mereka sentiasa terkawal. Paling penting kesihatan semua atlet terjaga.

“Kadar bacaan IPU akan dipantau dan hari ini walaupun adanya penurunan (bacaan) tetapi masih juga dalam kadar yang tinggi,” katanya.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi beramah mesra dengan atlet ketika menyaksikan perlawanan badminton perseorangan lelaki Para sempena lawatan ke temasya Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan KOMBES, Shah Alam pada 8 September 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Mohammed Taufiq bersama EXCO Pembangunan Sukan Mohd Najwan Halimi memantau perjalanan acara boccia dan badminton sekitar bandar raya ini selain beramah mesra dengan atlet dan pengurusan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengelola Para SUKMA 2026 mengambil beberapa langkah pencegahan susulan keadaan jerebu ketika ini.

Antaranya, semua atlet dan pegawai diwajibkan memakai pelitup muka N95 ketika berada di luar bangunan atau kenderaan, berkuat kuasa semalam.

Setiap kontinjen turut diarahkan menjalani saringan kesihatan bagi memastikan atlet yang rentan terhadap kesan jerebu tidak dibenarkan bertanding.

Selain itu, tempoh pertandingan setiap sesi acara para olahraga dipendekkan kepada maksimum dua jam bagi mengurangkan pendedahan atlet kepada keadaan jerebu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.