SHAH ALAM, 7 SEPT: Program Start With Seringgit (SWS) Amali Zakat diperkenalkan bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kewajipan berzakat menerusi pendekatan pembelajaran yang lebih dekat, interaktif dan praktikal.
Menurut Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor), program itu bukan sahaja memberi penerangan asas mengenai kewajipan zakat, malah membolehkan pelajar memahami proses pembayaran menerusi simulasi yang disediakan.
Melalui pendekatan berkenaan, pelajar turut didedahkan kepada penyaluran wang zakat dan bagaimana dana itu dimanfaatkan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Zakat Selangor berkata program itu turut memberi perkongsian kepada guru sebagai pemangkin kepada usaha pendidikan serta pembudayaan zakat di peringkat sekolah.
“Jom kita semai kefahaman tentang zakat sejak di bangku sekolah, supaya generasi akan datang bukan sahaja tahu tentang zakat, tetapi faham, yakin dan terbiasa menunaikannya,” menurut Zakat Selangor menerusi hantaran di Facebook.
Program berkenaan terbuka kepada pihak sekolah yang berminat untuk mendapatkan pendedahan pendidikan zakat secara lebih interaktif, selain ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran.
Zakat Selangor mengalu-alukan sekolah yang berminat menjemput pihaknya bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan program berkenaan.
Pendekatan itu dilihat dapat membantu membentuk kefahaman mengenai zakat sejak usia persekolahan, termasuk mengenali kewajipan, proses pembayaran serta peranan zakat dalam membantu golongan yang memerlukan.







