SHAH ALAM, 2 JUN: Status operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita yang hilang di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, sejak 24 Mei lalu dijangka diputuskan esok selepas satu mesyuarat penyelarasan melibatkan semua agensi penyelamat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata keputusan sama ada operasi itu diteruskan atau ditamatkan akan dibuat berdasarkan penilaian semasa yang dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan.
"Mesyuarat berlangsung jam 2 petang ini yang dipengerusikan Pegawai Daerah Batang Padang akan membincangkan status semasa dan perkembangan operasi SAR yang telah dilaksanakan serta tindakan susulan selepas 10 hari operasi digerakkan.
"Ia dijangka selesai jam 3 petang dan sidang media akan diadakan selepas itu," katanya seperti dilaporkan BH hari ini.
Operasi SAR yang memasuki hari ke-10 itu terus berdepan cabaran besar termasuk keadaan muka bumi yang sukar dilalui selain faktor cuaca yang tidak menentu.
Sebelum ini, kelibat Jaslinda dilaporkan berjaya dirakam menerusi kamera pengawasan di laluan pendakian Gunung Batu Putih pada hari pertama beliau dilaporkan hilang.
Rakaman itu dipercayai menunjukkan mangsa bergerak ke arah Kem Sukaneka.
Bagi memperluaskan kawasan pencarian, pasukan SAR turut mendapatkan bantuan komuniti Orang Asli setempat dengan lebih 22 penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Ampang Woh dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil.
Mereka memberi tumpuan kepada kawasan di luar trek utama, khususnya laluan di antara Kem Sukaneka dan Gunung Rayu yang dikenal pasti berpotensi menjadi lokasi mangsa berada.
Dalam perkembangan berkaitan, operasi udara yang dijalankan bagi membantu pencarian turut berdepan kekangan apabila keadaan awan berkelompok, tiupan angin kuat serta kawasan hutan yang padat menyukarkan pergerakan pesawat.
Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman sebelum ini dilaporkan berkata operasi menggunakan helikopter MI-17 milik JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah membabitkan kaedah 'winching' untuk menurunkan dan menaikkan anggota penyelamat menggunakan kabel.
Menurut beliau, seramai 32 anggota pasukan penyelamat telah digerakkan menerusi operasi udara tersebut di sekitar kawasan Kem Sukaneka bagi memperluaskan usaha mengesan mangsa.









