
SHAH ALAM, 7 SEPT: Atlet para renang Selangor Alysha Aryana Mohd Khairul Azli mencipta kejayaan apabila meraih pingat emas Para SUKMA 2026, selain memecahkan rekod kebangsaan.
Kejayaan itu bukan sahaja memenuhi sasaran ditetapkan malah menjadi pencapaian lebih manis selepas beliau berjaya melangkaui jangkaan pada temasya berkenaan.
Ibunya, Nurul Ain berkata perasaan gembira bercampur debar dirasainya ketika melihat Alysha Aryana berada di blok permulaan sebelum perlumbaan.
“Alhamdulillah, gembira. Masa dia berada di blok permulaan itu memang takut juga, tertanya-tanya boleh ke dia buat. Alhamdulillah, semuanya dengan izin Allah SWT dan kami sangat yakin dengan dia,” katanya.
Menurutnya, Alysha Aryana membuat persiapan lebih setahun untuk menghadapi SUKMA 2026 dan kejayaan berkenaan membuktikan usaha serta latihan dilalui selama ini membuahkan hasil.
Nurul Ain berkata antara cabaran terbesar anaknya adalah memahami arahan dan teknik latihan berikutan kesukaran untuk memahami sesuatu perkara.
“Kadang-kadang dia tak faham, jadi itu cabaran dia. Tetapi sebab dia sudah biasa berada dalam air sejak umur lapan tahun, Alhamdulillah dia boleh tangkap satu persatu,” katanya.
Beliau berkata pengalaman Alysha Aryana berada dalam air sejak usia lapan tahun membantu atlet itu menyesuaikan diri dan memahami latihan secara berperingkat.
Nurul Ain turut mengakui keluarga memang menyasarkan pingat emas pada temasya kali ini, namun tidak menjangka Alysha Aryana mampu melangkaui sasaran dengan memecahkan rekod kebangsaan.
“Kami memang sudah jangka dia boleh dapat emas, tetapi tidak jangka pula dia boleh pecahkan rekod kebangsaan. Dia sudah capai sasaran kami untuk pergi ke Sukan Para ASEAN tahun depan,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Ain menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjadi antara pencetus perjalanan Alysha dalam sukan para sejak usia lapan tahun.







