Malaysia perlu ramai bakat bidang STEM, bina masa depan berdaya tahan

7 Sep 2026, 3:44 AM
Malaysia perlu ramai bakat bidang STEM, bina masa depan berdaya tahan

SHAH ALAM, 7 SEPT: Malaysia memerlukan lebih ramai bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri mahupun syarikat pemula niaga.

“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta mengangkat daya saing Malaysia di peringkat dunia.

“Sebab itu, Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) tidak seharusnya berakhir apabila piala disampaikan. Saya mahu bakat yang dikenal pasti melalui platform seperti ini terus dibangunkan dan diberikan laluan untuk pergi lebih jauh," kata beliau dalam ucapan sempena Peringkat Akhir NSC 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang.

Anwar juga mahu MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM), bersama-sama Kementerian Pendidikan serta rakan strategik, menjadikan NSC sebagai satu laluan pembangunan bakat yang berterusan dan bukan sekadar acara tahunan.

Beliau berkata Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi negara yang mencipta, memiliki dan menguasai teknologi.

Perkara itu semakin penting memandangkan negara berdepan pelbagai cabaran termasuk keterjaminan makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim serta penggunaan kecerdasan buatan secara bertanggungjawab, kata beliau.

Beliau berkata pendidikan sains tidak boleh terhenti pada hafalan formula dan pencapaian peperiksaan, sebaliknya perlu membentuk pemikiran yang kritikal terhadap fakta, terbuka kepada idea, berani mencuba dan jujur apabila sesuatu percubaan tidak berjaya.

Usaha memperkukuh pendidikan STEM juga perlu menjadi tanggungjawab bersama kerajaan, sekolah, universiti, industri dan komuniti, kata beliau.

Anwar berkata langkah itu bagi memastikan bakat muda bukan sahaja dikenal pasti malah juga terus dibimbing dan diberikan ruang untuk berkembang.

Beliau berkata data Kementerian Pendidikan menunjukkan enrolmen murid dalam STEM meningkat kepada 50.83 peratus pada 2024 daripada 40.95 peratus pada 2021, namun penyertaan dalam sains tulen masih sekitar 15.8 peratus.

"Ini menunjukkan masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan untuk mendalaminya," kata beliau.

Oleh yang demikian Perdana Menteri berkata usaha negara perlu beralih daripada sekadar menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM kepada memastikan mereka terus bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang berkenaan, dengan guru memainkan peranan besar sebagai pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda.

Beliau turut menggesa supaya peserta berpotensi khususnya dari luar bandar Sabah dan Sarawak serta keluarga berpendapatan rendah terus dihubungkan dengan mentor, makmal, biasiswa dan rangkaian inovasi.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.