Larian Sawah Padi Tanjong Karang tonjol keindahan, rancak agropelancongan

6 Sep 2026, 8:54 AM
Larian Sawah Padi Tanjong Karang tonjol keindahan, rancak agropelancongan
Larian Sawah Padi Tanjong Karang tonjol keindahan, rancak agropelancongan
Larian Sawah Padi Tanjong Karang tonjol keindahan, rancak agropelancongan
Larian Sawah Padi Tanjong Karang tonjol keindahan, rancak agropelancongan

SHAH ALAM, 6 SEPT: Larian Sawah Padi Tanjong Karang terus menjadi tarikan baharu bagi memperkenalkan keindahan kawasan sawah padi, selain membantu merancakkan sektor agropelancongan dan ekonomi setempat.

Hampir 6,000 peserta mengambil bahagian dalam edisi keempat program itu yang berlangsung pagi tadi, membabitkan larian 5km dan 8km menerusi laluan sekitar kawasan sawah padi Tanjong Karang.

Pengarah Program Larian Sawah Padi Tanjong Karang Hanif Harun berkata peningkatan jumlah peserta berbanding kira-kira 3,500 orang sebelum ini menunjukkan konsep larian dalam suasana sawah padi semakin mendapat sambutan.

“Saya sendiri merupakan pelari tegar dan terlibat dengan banyak acara di bandar. Pemandangan di bandar sama sahaja, jadi saya mahu bawa kelainan dan baharu yang tidak dapat di bandar.

“Selain melihat sawah padi dan meraikan bulan kemerdekaan, mereka juga dapat mengikuti pelbagai program disediakan termasuk wayang pacak, pertandingan mewarna dan futsal,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, 14 ‘checkpoint’ disediakan sepanjang laluan dengan setiap lokasi mengetengahkan pengalaman berbeza, termasuk makanan dan permainan tradisional.

Katanya, pendekatan itu bukan sahaja memberi kelainan kepada peserta, malah membuka peluang untuk mereka mengenali warisan dan kehidupan masyarakat setempat.

“Program larian ini juga disertai komuniti pelari yang terdiri daripada anak-anak istimewa. Penyertaan mereka memperlihatkan bagaimana sukan dan gaya hidup sihat mampu menjadi ruang yang menyatukan masyarakat tanpa mengira latar keupayaan,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Mohd Yahya Mat Sahri berkata penganjuran program itu turut memberi manfaat kepada sektor agropelancongan dengan menarik pengunjung dari luar kawasan ke Tanjong Karang.

Katanya, kehadiran peserta memberi limpahan ekonomi kepada pengusaha rumah inap dan peniaga tempatan, selain memperkenalkan kawasan sawah padi sebagai salah satu tarikan pelancongan.

“Ini matlamat daripada awal iaitu memastikan kawasan di sini dikunjungi lebih ramai pelancong. Bagi mereka yang mengusahakan rumah inap atau homestay, dengan adanya program seperti ini membantu mereka menjana pendapatan.

“Sebenarnya sejak Ogos banyak program dianjurkan termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dapat membantu peniaga di sini,” katanya.

Mohd Yahya berkata usaha memperkenalkan Tanjong Karang menerusi program berasaskan sawah padi perlu diteruskan dengan sokongan pihak berkaitan termasuk Tourism Malaysia bagi menarik lebih ramai pengunjung menikmati pengalaman agropelancongan di kawasan itu.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Ariffin Sabirin berkata sokongan sebagai penaja utama program itu selari dengan usaha syarikat menggalakkan gaya hidup sihat serta memberi manfaat kepada komuniti dan ekonomi setempat.

“Larian ini membawa satu mesej yang lebih besar daripada sekadar mengajak masyarakat untuk berlari. Kita mahu peserta merasai sendiri suasana sawah padi, mengenali masyarakat pesawah dan membantu menggerakkan ekonomi setempat,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.