SABAK BERNAM, 27 NOV: Karnival Ban Canal 2024 anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dapat mempromosi pelancongan berasaskan kampung dan pertanian.
Ketua pegawai eksekutif MBI berkata pesta itu turut menjadi pemangkin utama merancakkan aktiviti sukan air di kawasan Sabak Bernam.
Menurut Saipolyazan M Yusop, pihaknya turut menyediakan ruang perniagaan kepada 12 peniaga Platform Selangor (PLATS) dan enam kendera saji bagi menjana pendapatan.
[caption id="attachment_675095" align="alignleft" width="348"] Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop[/caption]
“Ia juga sebagai persediaan awal untuk mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan kehadiran lapan juta pengunjung tahun depan.
“MBI turut menyediakan aktiviti kemasyarakatan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai kepentingan memelihara alam sekitar terutama sekali ban canal yang dibina puluhan tahun dahulu oleh British digunakan untuk perairan sawah di sini,” katanya.
Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat melancarkan Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima di sini, semalam.
Pada masa sama, Saipolyazan menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung untuk menyertai pelbagai aktiviti sepanjang enam hari program bermula semalam hingga 1 Disember.
Tambahnya, antara aktiviti sukan air yang menanti pengunjung adalah kayak marathon, kayak sprint, perahu naga dan sukan tradisional.
“Selain itu, ada 20 pameran agensi kerajaan dan swasta. Ini menunjukkan sokongan yang kuat dari agensi, penduduk, pemegang taruh dan pemimpin-pemimpin tempatan untuk menjayakan program ini.
“MBI juga sediakan empat bas untuk membawa pengunjung dari tempat letak kereta ke tapak karnival bagi memudahkan mereka datang dan nikmati program yang disediakan,” katanya lagi.
[caption id="attachment_675093" align="alignnone" width="795"] Peserta perlumbaan kayak di Karnival Ban Canal 2024 pada 26 November 2024. Foto HARUN TAJUDIN /MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata karnival anjuran bersama Majlis Daerah Sabak Bernam bertujuan mengembangkan potensi besar daerah ini sebagai destinasi pelancongan.
“Ban canal ini juga memberi ruang menonjolkan kawasan Sabak Bernam cukup unik dengan keasliannya merasai keadaan kampung.
“Program turut mempromosikan makanan tradisional di sini seperti punten, tiram dan nasi ambeng yang dijual oleh peniaga PLATS,” katanya.