Penduduk DUN Bandar Utama terima insentif Haji Muassasah RM1,500

5 Sep 2026, 3:35 AM
Penduduk DUN Bandar Utama terima insentif Haji Muassasah RM1,500

SHAH ALAM, 5 SEPT: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama yang menunaikan ibadah haji tahun ini menerima Insentif Haji Muassasah sebanyak RM1,500 seorang daripada Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan sebahagian kos ibadah berkenaan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata bantuan itu diharap dapat meringankan beban jemaah selain menjadi tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan mereka.

“Semoga sumbangan ini menjadi tanda keprihatinan berterusan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat,” katanya menerusi Facebook.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin menyerahkan Insentif Haji Muassasah 2026 Negeri Selangor kepada jemaah haji di Masjid Al-Makmuriah, Kayu Ara, Damansara pada 3 September 2026. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Insentif Haji Muassasah 2026 Negeri Selangor kepada penerima di Masjid Al-Makmuriah, Kayu Ara, Damansara, baru-baru ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata hampir 4,800 daripada kira-kira 6,000 jemaah haji muassasah yang layak menerima insentif berkenaan telah menerima bantuan setakat Ogos.

Menurutnya, jumlah itu mewakili kira-kira 80 peratus daripada penerima berdaftar, manakala baki lebih 1,000 penerima sedang diusahakan untuk menerima bantuan berkenaan.

Program Insentif Haji Muassasah diperkenalkan pada 2022 dengan kadar bantuan RM500 seorang sebelum dinaikkan kepada RM1,500 mulai tahun ini.

Sejak diperkenalkan, program berkenaan telah memanfaatkan 18,000 jemaah haji muassasah dari Selangor, masing-masing 3,000 penerima pada 2022 dan 2023 serta 6,000 penerima pada 2024 dan 2025.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.