SABAK BERNAM, 26 APRIL: Bantuan RM1,500 daripada Kerajaan Selangor kepada jemaah haji Muassasah dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar membantu meringankan kos persiapan mereka ke Tanah Suci.
Anak kepada bakal jemaah haji, Mohammad Raimi Rosnan berkata bantuan tersebut banyak membantu dari segi persiapan dan perbelanjaan di Mekah memandangkan kos menunaikan ibadah haji semakin meningkat setiap tahun.

“Bantuan ini sangat membantu dari segi makan dan persiapan di sana. Kos haji bukan kecil, jadi sumbangan ini memang beri kelegaan kepada keluarga,” katanya.
Terdahulu, seramai 25 jemaah haji dari DUN Sungai Air Tawar menerima insentif berkenaan yang disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu majlis di Masjid Ubudiah, Sungai Air Tawar, di sini semalam.

Sementara itu, Muhammad Zailani Somingan berkata insentif itu turut digunakan bagi menampung keperluan awal sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Beliau mengakui persediaan kewangan untuk menunaikan haji memerlukan disiplin tinggi, selain turut dipengaruhi faktor nilai mata wang.

“Faktor nilai mata wang juga memberi kesan, jadi bantuan ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban,” katanya.
Bagi Rita Ariyani Aminudin pula, bantuan tersebut amat bermakna khususnya kepada jemaah Muassasah yang perlu mengurus sendiri sebahagian keperluan sepanjang berada di Mekah.

“Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan bakal jemaah haji,” katanya.
Kerajaan Negeri meneruskan Insentif Haji Muassasah sebanyak RM1,500 kepada 6,000 bakal jemaah haji Muassasah dari Selangor tahun ini, meningkat RM500 berbanding RM1,000 sebelum ini.
Insentif itu diluluskan menerusi Belanjawan Selangor 2026 dengan peruntukan keseluruhan RM9 juta.








