SHAH ALAM, 5 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan memelihara tradisi ilmu turath sebagai khazanah yang menghubungkan generasi masa kini dengan tradisi keilmuan Islam yang panjang.
Beliau berkata perkara itu antara pesanan yang diterimanya ketika berkesempatan menziarahi Al-‘Allāmah Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Ahmad al-Shihawi al-Husaini al-Asy‘ari al-Syafi‘i di Nasyrul Quran, Putrajaya semalam.
Menurut Anwar, Syeikh Abdul Aziz merupakan ulama kelahiran al-Mahallah al-Kubra, al-Gharbiyyah, Mesir dan antara ulama besar Syafi‘iyyah di al-Azhar, selain menjadi Syeikh bagi Mashaikh Mazhab Imam al-Syafie serta Syeikh bagi Tariqah Shahawiyyah Burhamiyyah.
“Pesanan Syeikh antara lain mengingatkan tanggungjawab kita memelihara turath sebagai khazanah yang menghubungkan kita dengan tradisi keilmuan yang panjang.
“Keistimewaan al-Azhar, katanya, antara lain terletak pada kekuatan isnad dan kesinambungan tradisi ilmu yang dipelihara turun-temurun,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata dalam masa sama, perkembangan teknologi baharu tidak seharusnya ditolak, sebaliknya dimanfaatkan bagi mendokumentasi dan melestarikan khazanah berkenaan.
Beliau berkata Syeikh Abdul Aziz juga merupakan ahli fiqh dan pengajar ilmu qiraat di al-Jāmi‘ al-Azhar yang tekun dengan tradisi talaqqi kitab turath.
“Kekuatan hafazan beliau juga luar biasa, termasuk menghafaz dalam pelbagai cabang ilmu agama, hadith dan qiraat al-Quran,” katanya.
Anwar turut memetik pesanan Imam al-Syafie Rahimahullah mengenai kepentingan menuntut ilmu.
“Barang siapa tidak merasakan kepayahan belajar walau sesaat, akan meneguk pahitnya kejahilan sepanjang hayat,” katanya.

Dalam hantaran sama, Perdana Menteri mendoakan agar Allah SWT memelihara Syeikh Abdul Aziz, mengurniakan kesihatan dan afiat serta memanjangkan usianya dalam keberkatan.
Beliau turut berharap ilmu yang dicurahkan ulama berkenaan menjadi amal jariah yang terus mengalir.







