Baju tahanan jingga dicadang tidak perlu dipakai sebelum individu didakwa: PM

4 Sep 2026, 11:47 AM
Baju tahanan jingga dicadang tidak perlu dipakai sebelum individu didakwa: PM

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat individu yang ditahan dalam sesuatu siasatan tidak perlu dipakaikan baju tahanan berwarna jingga semasa tempoh reman sebelum mereka dituduh secara rasmi di mahkamah.

Beliau berkata langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan.

“Semalam (dalam mesyuarat Jemaah Menteri) saya juga sampaikan (beritahu), sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju jingga tidak perlu (pakai)," kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini.

Anwar berkata beliau menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai perkara itu.

“Setakat ini saya menghormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tidak perlulah dikenakan (dipakaikan) baju jingga kerana ia akan memberi persepsi berbeza,” katanya.

Selasa lepas, seorang bekas menteri dibawa ke mahkamah dengan memakai baju tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga bagi proses permohonan reman berhubung siasatan isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.