Isteri serah petunjuk pacuan empat roda dinaiki Loe kepada polis Nepal

4 Sep 2026, 9:17 AM
Isteri serah petunjuk pacuan empat roda dinaiki Loe kepada polis Nepal

KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) yang dilaporkan hilang di Nepal, telah menyerahkan segala maklumat dan petunjuk yang beliau ada bagi menjejaki suaminya kepada pihak berkuasa Nepal dalam usaha membantu operasi pencarian yang sedang berjalan.

Hani Othman yang kini berada di Nepal mengesahkan bahawa sebarang maklumat berkaitan, termasuk penampakan dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) berwarna putih yang dipercayai dinaiki suami bersama-sama kumpulannya sebelum kejadian tragis itu, telah disalurkan terus kepada pihak Polis Nepal.

Suami Hani, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 40-an, atau lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika menyertai misi pendakian di negara berkenaan.

Turut dilaporkan hilang Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Mohd Sani Harul, yang dalam misi pendakian sama.

Hani berkata pihak berkuasa tempatan kini sedang giat menjalankan siasatan dan operasi pencarian, berdasarkan maklumat yang diterima daripada pelbagai pihak.

Poster hebahan 10 rakyat Malaysia termasuk Loe yang masih hilang selepas terperangkap dalam bencana banjir di daerah Rasuwa, Nepal sejak 26 Ogos 2026. Foto Facebook Hani Othman

“Semua maklumat berkenaan perlu diserahkan kepada pihak polis Nepal dan mereka sedang membantu dalam siasatan. Sebarang penemuan baharu akan dimaklumkan terlebih dahulu kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

“Sekiranya pihak keluarga mangsa mempunyai sebarang maklumat tambahan, kami akan terus menyalurkannya kepada pihak kedutaan dan polis Nepal untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hantaran di media sosialnya mengenai penampakan dua kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai dinaiki oleh suaminya dan pasukan, sebelum dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan tanah runtuh itu.

Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, bagi memantau perkembangan terkini operasi pencarian tersebut dari semasa ke semasa.

Sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan bencana yang berlaku pada 26 Ogos, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal sudah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses sebelum pulang ke Malaysia.

Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat bencana itu meningkat kepada 1,220 orang manakala 4,762 orang termasuk 844 warga asing masih hilang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.