KUALA LUMPUR, 4 SEPT: Selepas mengharungi tempoh 10 hari yang penuh duka dan persoalan tanpa sebarang berita dari lapangan, harapan waris rakyat Malaysia yang hilang dalam tragedi banjir kilat di Nepal kembali bersinar.
Berita terbaharu berhubung kelulusan rasmi kerajaan Nepal yang membenarkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) beroperasi bermula esok membawa perkembangan paling dinantikan oleh seluruh ahli keluarga terjejas.
Bagi Muhammad Firas Shah Shabuddin, anak bongsu kepada Shabuddin Mun, seorang daripada 10 rakyat Malaysia yang hilang dalam kumpulan Team Loe ketika menuju Everest Base Camp (EBC), perkhabaran itu memberi kelegaan besar buat dirinya.
"Saya berasa lebih gembira, sebab sebelum ini apabila (sudah) seminggu lebih menanti (namun) tiada sebarang perkembangan… saya memang sangat berharap ayah masih selamat dan kita ada pasukan kita (SMART) yang digerakkan.
"Sekurang-kurangnya dengan pemergian SMART ini, saya harap akan dapat menerima jawapan seawal mungkin (mengenai status ayah) hasil daripada operasi mereka nanti," katanya.

Berdasarkan perkembangan terbaharu, Pasukan SMART terdiri daripada 11 anggota dijangka diatur gerak ke lokasi kejadian esok akan dilengkapi dengan dron berkeupayaan tinggi dan peralatan khusus.
Difahamkan pasukan negara itu akan membantu operasi mencari yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan Nepal khususnya di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal serta keupayaan operasi yang lebih khusus.
Menceritakan mengenai keadaan keluarganya yang tertekan sepanjang tempoh penantian itu, Muhammad Firas Shah, 24, berkata ibunya cukup tabah selaku tunjang kekuatan emosi mereka sekeluarga ketika ini.
Muhammad Firas Shah yang tenang dan cuba berfikiran rasional menghadapi dugaan ini berkata fokus utama keluarga pada masa ini adalah untuk saling menguatkan antara satu sama lain, terutama dengan sokongan pelbagai pihak termasuk ahli keluarga besar yang sentiasa ada bersama.
Terdahulu, usaha pencarian kumpulan mangsa dari Malaysia berdepan cabaran kerana kerajaan Nepal hanya membenarkan anggota penyelamat dari beberapa negara tertentu untuk beroperasi, antaranya China, India dan Korea Selatan, sebelum membenarkan kemasukan pasukan SMART.





