SHAH ALAM, 3 SEPTEMBER: Sepatutnya hari ini menjadi detik penuh makna buat Hani Othman dan suaminya, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44, atau lebih dikenali sebagai Loe, apabila mereka genap 10 tahun melayari bahtera perkahwinan.
Namun, tarikh 3 September yang selama ini diraikan bersama bertukar menjadi hari penuh kerinduan dan penantian apabila Loe masih belum ditemukan selepas bencana banjir kilat dan tanah runtuh di Rasuwa, Nepal.
Lebih meruntun hati, suaminya itu sepatutnya pulang hari ini dan sudah berjanji membawa hadiah sempena ulang tahun perkahwinan mereka.
“Abang patut balik hari ni. Abang dah janji nak bawa balik hadiah anniversary (ulang tahun).
“Nervous (gemuruh) lah hadiah apa abang nak bagi tahun ni,” luah Hani menerusi Facebook hari ini.
Dalam catatan sempena ulang tahun perkahwinan ke-10 itu, Hani turut mengenang satu demi satu perancangan yang sudah disusun untuk dilalui bersama suaminya.

Daripada menduduki peperiksaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada 6 September, melengkapkan kursus pemandu selam (divemaster) di Tioman pada Oktober hingga mendaki Gunung Rinjani dan Kilimanjaro, semuanya sudah dirancang bersama.
“6/9 kita ada exam SKM TVET tau. Bulan 10 kita patut menamatkan kursus divemaster kat Tioman.
“Bulan 5 abang kena bawa sayang pergi Rinjani. Bulan 8 kita nak pergi Kilimanjaro pula,” tulisnya.
Namun, paling dekat di hati Hani ialah impian Loe untuk menjejakkan kaki ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest.
Hani berkata beliau sudah berjanji untuk berlatih bersama dan menemani suaminya sehingga impian itu menjadi kenyataan.
“Sayang dah cakap kat abang kan kita akan berlatih sama-sama dan sayang akan teman abang kali ini sampai ke Puncak Everest.
“Impian abang nak ke puncak Everest tak selesai lagi ni tauuuu.
“Tolong lah abang.. where are youuuuuuu (dimanakah kamu)??” luahnya.
Impian menawan Everest sememangnya dekat dengan Loe yang pernah melaksanakan misi Pendakian Amal Bomba de Everest ‘Mencari Hati Emas’ pada 2025, namun percubaannya ketika itu terpaksa dihentikan selepas mengalami masalah kesihatan ketika pendakian.

Loe merupakan antara rakyat Malaysia yang terputus hubungan selepas banjir dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa di Nepal pada 26 Ogos lalu.
Beliau berada di negara itu bagi aktiviti pendakian menuju Everest Base Camp ketika bencana berlaku.
Hani kemudian berangkat ke Kathmandu bagi mendapatkan sendiri perkembangan operasi pencarian suaminya dan dilaporkan sudah berada di Nepal sejak hujung bulan lalu.
Semalam, sebuah helikopter persendirian turut dikerahkan bagi membantu mengesan sekumpulan 17 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan di kawasan Rasuwa, termasuk dengan memberi tumpuan kepada lokasi terakhir kumpulan berkenaan diketahui berada.







