Tragedi lemas Tanjung Lompat: Mangsa ketiga ditemukan, seorang masih hilang

4 Sep 2026, 6:30 AM
Tragedi lemas Tanjung Lompat: Mangsa ketiga ditemukan, seorang masih hilang

KOTA TINGGI, 4 SEPT: Seorang lagi mangsa lemas di Pantai Tanjung Lompat di sini ditemukan pagi ini, menjadikan tiga daripada empat remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang semasa mandi pada Rabu lepas telah ditemukan.

Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata Muhammad Adib Hafiy Kamal ditemukan pada 11.15 pagi oleh sebuah bot Persatuan Rekreasi Tanjung Lompat kira-kira 0.5 batu nautika ke arah tenggara perairan Tanjung Siang.

“Mangsa dinaikkan oleh bot PETIR 50 dan dipindahkan ke bot Kevlar KCB 24 untuk dibawa ke pantai. Pengecaman identiti mangsa telah dilakukan oleh waris,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini diteruskan bagi mencari mangsa terakhir Mohamad Haiman Fitri Supian.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi Pusat Kawalan Tempat Kejadian semasa mayat dibawa untuk proses pengecaman apabila bapa mangsa Kamal Mohamad didengari berkata “anak aku sudah pulang”.

Mohd Najib berkata SAR hari ketiga hari ini bermula pada 7 pagi dengan keluasan sektor pencarian diperluas kepada kira-kira 103 batu nautika persegi melibatkan 61 pegawai dan anggota pelbagai agensi.

Beliau berkata operasi pencarian terus diperluas dan diselaraskan berdasarkan perkembangan semasa, keadaan cuaca, laut dan arus serta maklumat diterima daripada pasukan di lapangan.

Pada Rabu lepas, bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.19 pagi berhubung enam remaja lelaki dilaporkan lemas semasa mandi, namun dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam.

Dua lagi mangsa yang telah ditemukan ialah Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor dan Alif Taqiuddin Kamal Hasrul.

Remaja terbabit sebahagian daripada kumpulan 15 orang yang berkhemah di situ.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.