SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri akan membawa isu dan kebimbangan 31 penduduk Flat Taman Bakti Blok D yang terlibat dengan perpindahan susulan pembinaan jajaran Projek Mass Rapid Transit 3 (MRT3) untuk penelitian lanjut.
EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim berkata perkara itu dibincangkan dalam sesi penerangan bersama penduduk petang semalam bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung kesan projek berkenaan.
“Pertemuan ini bagi membincangkan isu perpindahan melibatkan seramai 31 penduduk apabila rumah yang diduduki mereka ketika ini terlibat dalam pembinaan MRT3.
“Saya ambil maklum segala isu dan pandangan yang dibangkitkan penduduk untuk dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri Pandan Indah menerusi Facebook.
Izham berkata Kerajaan Negeri memahami perpindahan berkenaan bukan sekadar membabitkan kehilangan tempat tinggal, sebaliknya turut memberi kesan kepada aspek kehidupan lain yang perlu dipertimbangkan sewajarnya.
“Kerajaan juga memahami bahawa isu perpindahan ini bukan sekadar melibatkan soal tempat tinggal, tetapi turut merangkumi pelbagai perkara yang perlu diberi perhatian dan pertimbangan sewajarnya,” katanya.
Beliau memberi jaminan suara serta kebimbangan penduduk akan terus dibawa kepada pihak berkaitan supaya setiap perkara dapat diteliti dengan mengambil kira kepentingan dan kebajikan mereka.









