Mekanik ditembak di bengkel Machang Bubok, polis buru dua suspek

4 Sep 2026, 2:56 AM
Mekanik ditembak di bengkel Machang Bubok, polis buru dua suspek

BUKIT MERTAJAM, 4 SEPT: Seorang mekanik cedera di tapak tangan kanan akibat ditembak di sebuah bengkel kenderaan terpakai berhampiran kawasan perkuburan Cina di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata kejadian berlaku pada 1.05 tengah hari dan lelaki berusia 43 tahun itu ditembak oleh seorang daripada dua suspek lelaki yang menaiki motosikal.

“Mangsa yang cedera melarikan diri ke kawasan perkuburan Cina bagi menyelamatkan diri manakala dua suspek meninggalkan tempat kejadian.

“Kejadian menyebabkan mangsa luka dan patah tulang tapak tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Aminuddin berkata mangsa telah dibawa ke hospital dan dilaporkan stabil.

Beliau berkata pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa barang kes dipercayai berkaitan dengan kejadian dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat ASP Muazzam Shaaban menerusi talian 017- 4825 017.

Nik Aminuddin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.