JAKARTA, 2 SEPT: Lebih tiga juta rokok haram dan hampir 100 tan rotan antara barangan seludup yang dirampas dalam 30 kes penyeludupan yang berjaya digagalkan menerusi operasi Pasukan Petugas Bersama (JTF) Membanteras Barangan Haram selama sebulan di sepanjang sempadan darat dan perairan Indonesia-Malaysia.
Ketua Perhubungan Awam dan Khidmat Nasihat Kastam dan Eksais Indonesia Budi Prasetiyo berkata pihak penguat kuasa mengesan tiga kes membabitkan narkotik, 25 kes membabitkan rokok haram dan minuman beralkohol serta masing-masing satu kes membabitkan pakaian terpakai yang diimport secara haram dan eksport rotan yang dilarang sepanjang operasi bersama dari 13 Julai hingga 14 Ogos.
Beliau berkata rampasan itu melibatkan 3,004,536 batang rokok haram; 1,044.4 liter minuman beralkohol; 99,500 kilogram rotan; empat bungkusan pakaian terpakai yang diimport secara haram; serta 61.04 gram methamphetamine; 61.6 gram kanabis dan empat pil MDMA.
"Operasi itu menyasarkan lokasi berisiko dalam bidang kuasa pejabat wilayah Kastam dan Eksais yang meliputi Kalimantan Barat dan Kalimantan Timur, dengan lokasi ditentukan berdasarkan analisis pengurusan risiko perisikan di sepanjang sempadan darat dan perairan Indonesia-Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Budi berkata operasi itu melibatkan anggota Kastam dan Eksais Indonesia yang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), selain kerjasama dengan Badan Narkotika Nasional Indonesia, polis dan pendakwa raya, manakala siri aktiviti berkenaan diakhiri dengan majlis penutupan pada Selasa.
JTF merupakan kerjasama tahunan antara Kastam Indonesia dan JKDM sejak 2018, dengan tumpuan membanteras rangkaian pengedaran narkotik di sepanjang sempadan darat Indonesia-Malaysia sehingga 2024, sebelum diperluas kepada rokok haram dan minuman beralkohol pada 2025.
Skopnya diperluas lagi tahun ini meliputi bahan api, kenderaan bermotor, pakaian terpakai, daging sejuk beku, rotan dan jongkong emas, sekali gus menyaksikan namanya ditukar daripada Pasukan Petugas Bersama Membanteras Narkotik kepada Pasukan Petugas Bersama Membanteras Barangan Haram, katanya.







