SHAH ALAM, 2 SEPT: Lebih 1,200 kes buli dan salah laku pelajar direkodkan di Selangor bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025, menggambarkan cabaran keselamatan sekolah kini melangkaui isu buli semata-mata.
Asisten Superintendan Yusmar Yadee Salim dari Unit Pencegahan Gangsterism Bukit Aman berkata daripada jumlah itu, 265 kes membabitkan buli manakala 954 lagi merupakan pelbagai salah laku lain.
Sebanyak 41 kertas siasatan turut dibuka termasuk sembilan kes berkaitan buli.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian polis ialah pergaduhan, gengsterisme, kesalahan seksual, dadah serta masalah disiplin yang berpotensi berkembang menjadi jenayah.
“Yang lebih membimbangkan ialah perubahan daripada salah laku biasa kepada insiden yang mempunyai unsur keganasan lebih serius,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Yusmar berkata perkembangan itu menyebabkan aspek keselamatan sekolah tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut ancaman luar.
Risiko dalam kalangan warga sekolah sendiri termasuk akses kepada objek berbahaya serta konflik yang tidak dikesan lebih awal turut perlu diberikan perhatian.
Dalam konteks itu, beliau berkata mesin pengimbas keselamatan boleh membantu mengesan senjata tajam, tetapi bukan penyelesaian tunggal.
Penggunaan teknologi berkenaan perlu digabungkan dengan CCTV, kawalan akses, rondaan, pengawasan manusia serta perkongsian maklumat antara sekolah, ibu bapa dan polis.
“Keselamatan sekolah bukan hanya soal pagar, pengawal atau pemeriksaan beg,” katanya.







