SHAH ALAM, 27 OKT: Polis Selangor menjalankan pemeriksaan mengejut di 79 sekolah dan asrama seluruh negeri sejak tiga hari lalu bagi memperkukuh disiplin pelajar serta mencegah salah laku dalam kalangan mereka.
Timbalan Ketua Polis Selangor Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata pemeriksaan berkenaan dilakukan secara rawak di sekolah harian dan berasrama untuk memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat dan bebas daripada gejala tidak sihat.
Beliau memaklumkan, setakat ini tiada isu besar dikesan, namun langkah berkenaan menunjukkan kesungguhan polis dalam mengambil tindakan pencegahan sebelum berlakunya sebarang insiden yang boleh menjejaskan keselamatan pelajar dan sekolah.
“Keselamatan di sekolah bukan hanya tanggungjawab guru, tetapi juga seluruh masyarakat.
“Kita mahu anak-anak berasa selamat, yakin dan dihormati supaya mereka dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran serta membina masa depan yang baik,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan pagi bersama guru dan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Shah Alam, Bukit Jelutong hari ini.
Beliau berkata, usaha tersebut turut diperkuat dengan rondaan berkala Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Kenderaan Peronda (MPV) di kawasan sekolah selain sesi libat urus antara Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), pentadbir, guru, ibu bapa serta pelajar.
“Sekolah digalakkan memperketat prosedur keselamatan dalaman, manakala ibu bapa pula perlu lebih aktif memantau tingkah laku dan penggunaan gajet anak masing-masing.
“Pelajar juga boleh memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk menyalurkan maklumat terus kepada polis sekiranya mengesan sebarang salah laku di sekolah,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan pendekatan pencegahan hanya dapat dicapai apabila semua pihak termasuk komuniti setempat turut memainkan peranan aktif memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.





