ad

Lebih 1,200 kes salah laku pelajar direkod di Selangor

27 Okt 2025, 7:53 AM
Lebih 1,200 kes salah laku pelajar direkod di Selangor

SHAH ALAM, 27 OKT: Lebih 1,200 kes salah laku membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah direkodkan di seluruh Selangor dalam tempoh antara Januari hingga Oktober tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 265 kes membabitkan buli manakala 954 kes lagi melibatkan pelbagai salah laku lain.

"Namun hanya 41 kertas siasatan dibuka oleh pihak polis iaitu sembilan kes berkaitan buli dan 32 kes salah laku lain kerana sebahagian kes tidak mempunyai keterangan mencukupi.

"Bagaimanapun, tindakan bersama tetap diambil oleh pihak polis dan Jabatan Pendidikan bagi memastikan setiap kes diuruskan dengan sewajarnya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya memandang serius isu disiplin dan buli di sekolah kerana ia lahir daripada ekosistem sosial dan emosi masyarakat.

"Pencegahan bukan hanya melalui tindakan undang-undang, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara sekolah, komuniti, agensi kerajaan, serta ibu bapa bagi memperkasakan tanggungjawab sosial bersama.

"Inisiatif mengekang jenayah dan salah laku pelajar kini digerakkan secara menyeluruh dengan sokongan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Besar Selangor, serta agensi strategik seperti PDRM, Kementerian Pendidikan, NGO, PIBG dan Kementerian Kesihatan," katanya.