Bardiani sandar Covili, Tarozzi buru kejayaan LTdL26

1 Sep 2026, 5:59 AM
Bardiani sandar Covili, Tarozzi buru kejayaan LTdL26

SHAH ALAM, 1 SEPT: Bardiani CSF 7 Saber mempertaruhkan barisan pelumba berpengalaman dan bakat muda dalam usaha mengembalikan kegemilangan pasukan profesional Itali pada Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) dari 27 September hingga 4 Oktober depan.

Pasukan ProTeam Itali itu menyenaraikan Luca Covili, Santiago Cruz Martinez, Martin Herreno, Andrea Montagner, Manuel Tarozzi dan Marco Manenti sebagai pelumba utama, manakala Filippo Cettolin, Santiago Ferraro serta Matteo Turconi sebagai simpanan.

Covili, 29, dijangka menjadi sandaran utama selepas menamatkan saingan di tempat ketujuh keseluruhan LTdL tahun lalu, selain memiliki pengalaman beraksi dalam enam Grand Tour dan tujuh perlumbaan Klasik.

Bardiani turut membawa dua pelumba muda Colombia, Martinez, 20, dan Herreno, 19, yang pernah beraksi pada edisi lalu dan dijangka membantu pasukan menghadapi laluan pendakian mencabar kali ini.

Tarozzi, 28, pula hadir dengan rekod memenangi Peringkat 6 LTdL 2024 di Kulai, selain pengalaman dalam tiga Grand Tour dan empat Klasik, manakala Montagner, 20, dijangka menjadi taruhan pasukan di laluan landai.

Tumpuan turut terarah kepada Manenti, 23, yang menunjukkan peningkatan prestasi dalam Tour of Rhodes, Baku-Khankendi Azerbaijan dan Qinghai Lake musim ini, namun status kecergasannya menjadi perhatian selepas mengalami kecederaan patah jari pada PostNord Tour of Denmark, Julai lalu.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL26 Emir Abdul Jalal berkata Bardiani kekal antara pasukan ProTeam terbaik Itali ketika ini, dengan rekod penyertaan panjang dalam perlumbaan berprestij berkenaan.

“Mutu kayuhan Bardiani CSF 7 Saber tidak jauh beza berbanding dua pasukan ProTeam Itali lain seperti Polti VisitMalta dan Solution Tech NIPPO Rali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bardiani mula menyertai LTdL pada 1999 menerusi nama Navigare-Gaerne sebelum melalui beberapa penjenamaan dan pernah mencuri tumpuan menerusi dominasi pecutan Graeme Brown pada edisi 2005. Kali terakhir pasukan profesional Itali menjuarai klasifikasi berpasukan keseluruhan ialah Wilier Triestina-Selle Italia pada 2018.

LTdL26 dijangka antara edisi paling mencabar dengan pendakian di Gunung Jerai, Cameron Highlands dan Genting Highlands. Perlumbaan sejauh keseluruhan 1,285.5 kilometer itu bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar sejauh 193km dan berakhir menerusi Peringkat 8 Muar-Putrajaya sejauh 183.8km.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.