SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Negeri menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) mengambil pendekatan menyeluruh bagi mendepani peningkatan populasi warga emas, termasuk menggubal garis panduan reka bentuk sejagat untuk dilaksanakan secara berperingkat di Selangor.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata langkah itu penting bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang sesuai didiami rakyat pada setiap peringkat kehidupan.
Menurutnya, peratusan penduduk berusia 65 tahun ke atas di Selangor meningkat daripada 6.9 peratus pada 2020 kepada 8.1 peratus pada 2024.
Pada masa sama, kadar kesuburan jumlah (TFR) di negeri ini sekitar 1.5 hingga 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh lebih rendah berbanding paras penggantian populasi kira-kira 2.1 anak.

“Ini bermakna dalam jangka panjang, bukan sahaja populasi warga emas akan terus meningkat, malah pertumbuhan generasi muda yang akan memasuki usia bekerja juga semakin perlahan.
“Perubahan ini akan memberi tekanan kepada nisbah tanggungan warga emas, iaitu nisbah populasi warga emas berbanding penduduk usia bekerja akan meningkat secara beransur-ansur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bertulis bersama Media Selangor berhubung persediaan negeri menghadapi masyarakat menua menerusi RS-2.
Anfaal berkata penuaan populasi tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu kebajikan warga emas, sebaliknya perlu ditangani sebagai cabaran pembangunan negeri secara keseluruhan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri mahu membina ekosistem yang mampu menyokong peningkatan populasi warga emas, termasuk mewujudkan persekitaran dan kemudahan awam yang lebih mesra golongan berkenaan.
“Kerajaan Negeri perlu membina ekosistem yang menyokong peningkatan populasi warga emas bagi menjadikan Selangor negeri lebih mesra warga emas.
“Ini termasuk memberi penekanan kepada reka bentuk sejagat, terutama di tempat dan kemudahan awam,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan Negeri kini sedang menggubal garis panduan bagi pelaksanaan reka bentuk sejagat di seluruh Selangor.
Pada masa sama, rangkaian sokongan sosial akan diperkukuh menerusi program Selangor Care Navigator bagi memastikan warga emas yang memerlukan penjagaan mendapat perlindungan kebajikan sewajarnya.
Anfaal berkata peranan persatuan dan organisasi komuniti juga perlu diperkasa bagi menggalakkan lebih banyak inisiatif berteraskan konsep ‘rakyat membantu rakyat’.
“Selain itu, saringan kesihatan, pusat komuniti dan aktiviti warga emas perlu dipertingkatkan supaya mereka dapat mengekalkan gaya hidup sihat, aktif serta mempunyai hubungan sosial yang baik,” katanya.
Beliau menegaskan matlamat Kerajaan Negeri bukan sekadar memastikan rakyat hidup lebih lama, tetapi membolehkan mereka melalui usia tua dalam keadaan sihat, aktif dan bermaruah.







