PUTRAJAYA, 31 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya, di sini hari ini.
Sambutan kali ini menandakan tahun ketiga Seri Paduka Baginda berdua menyaksikan acara gilang-gemilang itu selepas Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Jan dan 20 Julai 2024.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua pada 8 pagi disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama (KKU).
Acara kemudian disusuli dengan terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sejurus keberangkatan Seri Paduka Baginda di Pentas Diraja.
Sultan Ibrahim turut berkenan memeriksa perbarisan serta menerima Tabik Hormat Diraja daripada KKU oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja Istiadat dengan kekuatan tiga pegawai dan 57 anggota lain-lain pangkat dari Kem Sungai Buloh.
Bertemakan "Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati", majlis itu dihadiri lebih 80,000 pengunjung dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.







