SHAH ALAM, 4 SEPT: Perebutan tempat duduk dipercayai menjadi punca seorang lelaki mencetuskan provokasi sehingga berlaku tolak-menolak ketika sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata siasatan kes berkenaan sudah dilengkapkan dan kertas siasatan kini berada di pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut, lapor Sinar Harian.
“Sebanyak tujuh keterangan saksi telah direkodkan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Punca kejadian dipercayai kerana berebut tempat duduk,” katanya.
Kejadian kira-kira jam 5 pagi itu berlaku ketika orang ramai menunggu pintu masuk ke kawasan tempat duduk awam dibuka.
Lelaki terbabit dipercayai merempuh dan menolak orang awam sehingga berlaku tolak-menolak yang menyebabkan beberapa individu terjatuh.
Rakaman kejadian kemudian tular di media sosial, termasuk memaparkan lelaki berbaju coklat dipercayai mencetuskan provokasi terhadap anggota polis yang bertugas.
Suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai tukang masak menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya kira-kira jam 12.15 tengah malam pada 2 September sebelum direman sehari.
Ujian air kencing terhadapnya turut didapati positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) sebelum dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






