KAJANG, 31 OGOS: Aksi enam anggota elit VAT 69 Komando terjun dari ketinggian kira-kira 4,500 kaki menjadi antara tarikan utama Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Selangor Ke-69 di Stadium Kajang, malam tadi.
Asisten Superintendan (ASP) Cawangan Latihan Para 69 Komando, Mohd Yusrezal Mohd Yusof berkata aksi berkenaan mencatat pengalaman pertama pasukannya membuat persembahan terjunan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Selangor.
Beliau yang juga kapten terjunan berkata keenam-enam anggota membawa bendera sebagai simbolik pasukan 69 Komando sepanjang aksi berkenaan.

“Memang agak mencabar, tetapi kami sudah membuat persiapan dari awal termasuk menjalani latihan pada waktu petang dan malam sejak 26 Ogos lalu.
“Cabaran tetap ada kerana penerjunan malam memerlukan pencahayaan, namun aspek keselamatan diberi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Selangor 2026 di Stadium Kajang, di sini malam tadi.
Mohd Yusrezal yang sudah 13 tahun berkhidmat dalam VAT 69 Komando berkata, setiap anggota turut diberikan panduan bagi mengelakkan mereka tersasar ketika melakukan penerjunan.
Sementara itu, pengunjung, Nurul Natasha Sharudin, 35, dari Gombak berkata, beliau hadir bersama suami dan anak bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.

“Saya memang suka datang sambutan seperti ini, terutama untuk meraikan Hari Kemerdekaan bersama keluarga. Macam hari ini pertunjukan payung terjun pun sangat menarik pertama kali tengok depan mata.
“Selain itu, anak-anak juga dapat merasai sendiri pengalaman menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dengan pelbagai lagi pertunjukan menarik,” katanya yang memakai baju bertema Jalur Gemilang bersama suami dan anak.
Bagi Wan Kong Hon, 60, sambutan berkenaan memberi peluang kepadanya menghayati erti kemerdekaan selain menjadi acara yang sering dihadirinya.

“Saya datang untuk meraikan hari kemerdekaan negara kita, hari kemenangan Malaysia.
“Saya hadir seorang sahaja kerana lokasi ini dekat dengan rumah dan memang kerap menghadiri sambutan seperti ini. Saya suka kerana tahun ini dekat sahaja dan berharap ia dianjurkan lagi,” katanya.









