Hari Kebangsaan: Agong mahu semua pihak beri usaha terbaik jayakan sambutan

30 Ogos 2026, 3:45 AM
Hari Kebangsaan: Agong mahu semua pihak beri usaha terbaik jayakan sambutan

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan harapan agar sambutan Hari Kebangsaan esok berlangsung lancar dengan semua pihak terlibat memberikan usaha terbaik bagi menjayakannya.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku di sini.

“Saya berharap sambutan kemerdekaan berlangsung dengan lancar dan tidak sabar untuk menyaksikan semua pihak yang terlibat memberikan usaha sebaiknya dalam memperingati peristiwa yang cukup penting dalam sejarah negara kita,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam pertemuan itu, Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan pelbagai perkembangan terkini dalam negara, termasuk persiapan sambutan Hari Kebangsaan.

Anwar dijadualkan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya petang ini dan mengumumkan beberapa ikhtiar penting yang menyentuh kebimbangan serta kehidupan rakyat.

Sambutan Hari Kebangsaan ke-69 bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” dijadualkan bermula 8 pagi esok di Dataran Putrajaya dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat menyaksikan sambutan yang turut dihadiri Anwar serta barisan Jemaah Menteri.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.