Ada ketika manusia membeli bukan kerana memerlukan, tetapi mahu merasai kepuasan. Barangan berjenama, kediaman besar dan kehidupan mewah menjadi simbol kejayaan serta pengiktirafan selepas penat mengejar cita-cita.
Namun, kepuasan itu tidak selalunya berkekalan. Satu keinginan yang dipenuhi sering disusuli keinginan lain sehingga kehidupan tanpa sedar menjadi perlumbaan yang tidak berpenghujung.
Di sebalik kerjaya sebagai doktor yang dilihat berjaya, kehidupan sedemikian pernah menjadi lumrah bagi seorang wanita sebelum menyedari kemewahan tidak memberikan ketenangan yang dicari.
Bagi Dr Amirah Alieya Mohamad, beg tangan berjenama pernah dibeli hampir setiap bulan sebagai ganjaran atas pencapaiannya. Beliau juga mengimpikan kediaman besar dan menjadikan pemilikan barangan sebagai antara ukuran kejayaan.
Namun, gaya hidup itu akhirnya membuatkannya berdepan tekanan emosi, kebimbangan dan keinginan berterusan untuk mendapatkan pengiktirafan.
Pada 2016, anak jati Subang Jaya itu mengambil keputusan mengubah kehidupannya dengan mengamalkan gaya 'frugal minimalist' - gabungan amalan berjimat cermat dan kehidupan lebih sederhana.
Perubahan bermula dengan mengemas dan melepaskan barangan yang tidak lagi diperlukan, sedikit demi sedikit.
“Saya mula mengemas dan membuang barangan lama untuk melepaskan bebanan yang memberi kesan kepada emosi dan mental. Saya sedar ketenangan lebih penting dan proses itu dimulakan dengan barangan yang kurang nilai sentimental,” katanya kepada Media Selangor.
Namun, koleksi beg tangan berjenama menjadi antara barangan paling sukar dilepaskan. Bagi wanita berusia 37 tahun itu, ia bukan sekadar aksesori tetapi pernah menjadi simbol pencapaian dan sumber kepuasan.
“Ketika itu, memiliki beg berjenama sangat memberi kepuasan kepada saya.
“Namun, kini saya sudah tidak mempunyai satu pun beg berjenama dan hanya menggunakan apa yang sedia ada tanpa lagi mengejar keinginan untuk memiliki barangan baharu,” katanya.
Perubahan itu akhirnya melangkaui soal barangan. Dr Amirah Alieya mula menilai semula apa yang benar-benar diperlukan untuk menjalani kehidupan dengan tenang.
Perkongsiannya mengenai kehidupan bersama suami dalam ruang seluas 45 kaki persegi serta hanya memiliki tujuh helai pakaian kemudian mencuri perhatian di media sosial.
Ada yang menyokong dan mula mencuba
kehidupan minimalis, manakala sebahagian lain mengkritik pilihannya. Namun, wanita itu menghormati pandangan berbeza kerana setiap individu mempunyai keutamaan tersendiri.
“Cukup bagi saya ialah apabila keperluan sudah dipenuhi walaupun tidak semua kehendak dapat ditunaikan kerana kebahagiaan dan ketenangan hidup tidak semestinya bergantung kepada sebanyak mana barangan yang kita miliki,” katanya.

Suaminya, Dr Muhammad Aiman Salahuddin, pula mengakui cabaran terbesar ialah perasaan 'fear of missing out' (FOMO) apabila melihat kehidupan rakan serta trend semasa sehingga seseorang terdorong membuat perbandingan.
Kemudahan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) juga boleh menjadi perangkap sekiranya tidak dianggap sebagai sebahagian komitmen kewangan bulanan.
Justeru, lelaki berusia 39 tahun itu menyarankan seseorang tidak terburu-buru memenuhi setiap keinginan untuk membeli.
“Kadangkala kita perlu ‘berpuasa’ daripada
membeli dan berbelanja. Hidup minimalis bukan bermaksud kita tidak boleh membeli tetapi kita perlu pastikan apa yang dibeli mempunyai nilai dan manfaat.
“Kalau mahu membeli sesuatu, beri tempoh 48 jam atau tiga hari sebelum membuat keputusan. Jika selepas tempoh itu masih merasakan ia benar-benar diperlukan, barulah pertimbangkan untuk membelinya,” katanya.
Bagi pasangan itu, minimalis bukan bermaksud tidak boleh berbelanja atau perlu memiliki barangan sesedikit mungkin. Sebaliknya, ia proses memahami keperluan, hidup mengikut kemampuan dan tidak menjadikan pemilikan sebagai ukuran kebahagiaan.
Selepas bertahun-tahun mencari kepuasan melalui apa yang boleh dimiliki, Dr Amirah Alieya dan Dr Muhammad Aiman kini menemui makna cukup dengan cara berbeza — memiliki lebih sedikit, tetapi menjalani kehidupan dengan lebih tenang.








