SHAH ALAM, 8 NOV: Pembelian kenderaan tidak setara gaji dikenal pasti antara punca utama penjawat awam negara ini berdepan bebanan hutang tinggi hingga sukar membuat bayaran balik.
Menurut Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), masalah itu akibat gemar berbelanja luar kemampuan, selain menyalahgunakan pinjaman peribadi, lapor Sinar Harian.
"Ada yang buat pinjaman peribadi atau guna kad kredit tujuan yang tidak penting. Kadangkala baju sudah ada tapi tetap beli lagi kerana ikutkan nafsu.
“Ada yang beli kereta melebihi kemampuan, sepatutnya cukup pakai kereta biasa sahaja tapi nak juga kereta mewah. Ini yang jadi isu tidak ukur baju di badan sendiri,” kata Abdul Rahman Mohd Nordin.
Sebelum ini, ketua pengarah perkhidmatan awam berkata ketua jabatan kerajaan persekutuan dan negeri perlu memberi perhatian terhadap hutang ditanggung pegawai bawah seliaan mereka.
Menurut Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, ia bagi mengelakkan penjawat awam terjerumus dalam masalah keterhutangan tinggi melebihi kemampuan untuk membuat bayaran balik.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata kurang ilmu dalam pengurusan kewangan dan peningkatan kos sara hidup di kawasan bandar juga antara faktor menyebabkan masalah hutang berlaku.
Beliau menambah tekanan kewangan yang dihadapi akibat beban hutang itu turut memberi kesan terhadap prestasi kerja dan kesejahteraan mental penjawat awam terbabit.
“Kalau hutang itu dibuat dengan cara betul dan mampu dibayar sebelum tarikh tamat tempoh, itu tidak salah. Tetapi jika asyik tangguh dan dikenakan faedah tinggi, ia akhirnya jadi beban.
“Bila beban bertambah, timbul pula masalah psikologi seperti tekanan, gangguan emosi dan akhirnya menjejaskan integriti. Kadang-kadang sampai boleh menyebabkan seseorang tu hilang kerja,” katanya.
Ogos lalu, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying mendedahkan sebanyak 4,194 kes bankrap direkodkan Jabatan Insolvensi Malaysia membabitkan penjawat awam antara 2020 hingga Jun 2025.




