ad

Wak Khair dari penghantar surat ke Tokoh Seni Selangor

16 Nov 2025, 2:00 AM
Wak Khair dari penghantar surat ke Tokoh Seni Selangor
Wak Khair dari penghantar surat ke Tokoh Seni Selangor

Jika dilihat dari luar, bangunan sederhana yang menempatkan Warisan Hall Studio mungkin kelihatan biasa sahaja. Sesiapa yang melalui kawasan itu barangkali tidak tahu, di sebalik dinding itu tersimpan dunia muzik lengkap dengan sistem audio canggih.

Terletak di Sijangkang, Telok Panglima Garang, siapa sangka kawasan luar bandar ini menjadi rumah kepada studio muzik, studio rakaman, malah ruang acara yang lengkap. Di situlah tersimpan kisah perjuangan seorang lelaki bernama Mohd Khair Ghazali, 59, lebih mesra disapa Wak Khair.

Dulu, beliau hanya seorang penghantar surat di kilang. Kini, dia pemilik studio lengkap, dewan acara dan sebuah inap desa sendiri. Minatnya terhadap muzik bermula sejak di bangku sekolah, menubuhkan band sendiri dan kerap menghiburkan majlis perkahwinan.

Sudut tempat melepak dan mencari ilham sebelum persembahan di Warisan Hall Sijangkanh Kuala Langat pada 30 Oktober 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

"Dulu ada juga bawa peralatan muzik pergi kenduri kahwin atau ceramah. Kita susun atur alat atau sistem audio profesional (PA sistem). Dari situ kita belajar serba sedikit berkaitan muzik," kongsi Wak Khair kepada Media Selangor.

Inspirasi dari negara sebelah

Bercerita lanjut, Wak Khair berkata, tahun 2000 menjadi detik permulaan dengan apabila membuka perniagaan kecil menyediakan perkhidmatan PA sistem. Pekerjaan sebagai penghantar surat masih diteruskan, dibantu beberapa pekerja untuk menguruskan perniagaannya. Minat yang mendalam dan sokongan keluarga mendorongnya untuk melangkah lebih jauh.

Sedikit demi sedikit, perkhidmatannya bertambah daripada PA sistem, kemudian menyediakan rakaman lagu dan karaoke. Pengalaman pertama merakam lagu adalah untuk sebuah band Orang Asli bernama Variasi.

"Alhamdulillah berjaya, kemudian lebih kurang 20 band Orang Asli lain datang minta buat rakaman muzik," kata Wak Khair.

Beberapa tahun kemudian, hasil simpanan, pengeluaran KWSP, dan sebidang tanah pusaka memberi ilham untuk membina studio sendiri. Pada 2017, lawatan ke Indonesia membuka mata beliau: studio bukan sekadar tempat rakaman, tetapi ruang komuniti berkumpul. Dari situlah tercetus idea Warisan Hall Studio lengkap dengan dewan, studio rakaman, dan homestay.

"Dekat sana saya nampak mereka hargai muzik. Saya fikir, kenapa tidak bina tempat lengkap di sini supaya orang boleh rehat sambil nikmati suasana kampung," katanya.

Warisan Hall Studio mula dikenali

Ramai pada awalnya mempersoalkan pembinaan studio di kampung. Wak Khair tidak ambil peduli. Baginya, jika tiada pengunjung sekalipun, ia tetap menjadi ruang untuk keluarga dan rakan-rakan.

Mohd Khair Ghazali atau panggilan Wak Khair sedang memasang mic di drum set sebelum memulakan persembahan di Warisan Hall Sijangkang Kuala Langat pada 30 Oktober 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Seiring era YouTube, beliau mula merakam video studio dan memuat naik di saluran Wak TV Warisan dan Warisan Records. Dari situ, Warisan Hall Studio mula dikenali, menarik penyanyi dan kumpulan terkenal seperti Ramli Sarip, Wings, Search, Siti Nordiana dan juga pelajar antarabangsa.

Menariknya, studio ini turut mendapat perhatian Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, yang pernah berkunjung dan memuji usaha Wak Khair. Banyak agensi dan program besar, termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL), turut menggunakan peralatan dan studio beliau kerana harga kompetitif dan servis mesra pelanggan.

"Strategi saya sentiasa beli barang baharu. Yang penting kualiti dan pelanggan puas hati. Minggu-minggu sentiasa ada orang datang untuk rakaman lagu atau konsert," jelasnya.

Diuji tapi tidak mengalah

Walau diuji dengan pelanggan gagal bayar sehingga lebih RM80,000, Wak Khair tetap sabar. Beliau percaya, usaha ikhlas akhirnya akan membuahkan hasil. Inspirasi datang daripada figura seperti Datuk Yusof Haslam, membina empayar bermula dari bawah.

Dengan tiga anak, Wak Khair berharap Warisan Hall Studio menjadi legasi keluarga. Meski berlatar pendidikan SPM, beliau menyimpan impian agar lagu ciptaannya suatu hari nanti tersenarai dalam AJL.

Tokoh Seni Selangor

Setelah lebih 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik, Wak Khair akhirnya dianugerahkan Tokoh Seni melalui Anugerah Seni (ASN) Selangor 2025. Nama beliau diiktiraf sebagai hasil kerja ikhlas dan cinta terhadap muzik, sesuatu yang tidak pernah disangka oleh Wak Khair sendiri.

Mohd Khair Ghazali atau panggilan Wak Khair sedang membuat persediaan peralatan teknikal dengan teliti di stor sebelum dibawa ke lokasi persembahan di Warisan Hall Sijangkanh Kuala Langat pada 30 Oktober 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR