Tiga sindiket dadah di Pulau Pinang tumpas, nilai rampasan RM3.2 juta

28 Ogos 2026, 6:50 AM
Tiga sindiket dadah di Pulau Pinang tumpas, nilai rampasan RM3.2 juta

GEORGE TOWN, 28 OGOS: Polis Pulau Pinang menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu termasuk sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM3.2 juta dalam siri serbuan di negeri itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kontinjen dan bahagian narkotik daerah itu antara 15 hingga 22 Ogos lepas melibatkan daerah Timur Laut, Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT), hasil risikan serta intipan yang dijalankan sejak beberapa bulan lepas.

"Bagi daerah Timur Laut, polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 25 hingga 35 tahun dalam operasi pada 15 dan 16 Ogos yang membawa kepada rampasan serbuk ganja seberat 38.3 kilogram (kg), bunga ganja (11.5 kg), syabu (14 kg), ketamin (5 kg), pil ekstasi (16 kg) dan 4,000 biji pil Erimin 5.

"Berdasarkan siasatan, sindiket didalangi pasangan suami isteri berumur 26 dan 25 tahun, mereka dipercayai mendapat bekalan bunga ganja dan ganja dari negara jiran sebelum diedarkan untuk pasaran di negeri ini serta dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak Mei lepas," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Di kawasan SPU pula, beliau berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 23 dan 46 tahun dalam dua serbuan berasingan di Butterworth, dekat sini pada 15 dan 19 Ogos, dengan merampas serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) masing-masing seberat 3.25 kg dan 1.3 kg.

Lim berkata siasatan mendapati mereka mendapat bekalan MDMA di dalam bungkusan pelbagai minuman segera daripada rangkaian sindiket pengedaran dadah sebelum dijual kepada pelanggan di sekitar negeri ini, terutama pusat hiburan.

Beliau berkata dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan terbabit sejak tiga bulan lepas dan menjual serbuk MDMA tersebut dengan harga bermula daripada RM100 serta siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesan rangkaian sindiket yang terlibat dalam kegiatan memproses dan mengedar MDMA itu.

"Sementara itu, di kawasan SPT, polis menahan seorang lelaki berumur 28 tahun di sebuah apartmen di Bukit Mertajam, dekat sini pada 22 Ogos dan merampas serbuk MDMA seberat 8.5 kg, 1,755 biji pil ekstasi, 100 biji pil Erimin 5, ketamin seberat 0.63 kg serta sembilan katrij cecair syabu.

"Lelaki yang tidak bekerja itu masih direman hingga 29 Ogos dan kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif dadah jenis morfin, amphetamine dan methamphetamine, manakala semakan mendapati lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

Dalam operasi tersebut, polis turut menyita pelbagai barangan antaranya kereta dan motosikal yang kesemuanya bernilai RM89,000 dan ketiga-tiga kumpulan ini ialah sindiket yang berbeza serta tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

-- BERNAMA

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.