Media sosial medium semai patriotisme, dekatkan sejarah kepada generasi muda

30 Ogos 2026, 1:00 AM
Media sosial medium semai patriotisme, dekatkan sejarah kepada generasi muda
Media sosial medium semai patriotisme, dekatkan sejarah kepada generasi muda

SHAH ALAM, 30 OGOS: Generasi muda diseru memanfaatkan media sosial sebagai medium yang membina untuk menterjemahkan makna kemerdekaan menerusi kandungan yang dekat dengan kehidupan mereka.

Pakar Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dato' Dr Sivamurugan Pandian berkata generasi hari ini perlu memastikan kemerdekaan terus bermakna dengan menghormati kepelbagaian, memelihara perpaduan serta menggunakan media sosial secara bijak.

"Patriotisme bukan hanya tentang bagaimana kita mencintai tanah air, tetapi bagaimana kita menelusuri kedudukan Malaysia setiap hari," katanya.

Menurutnya, Instagram, TikTok, dan YouTube boleh dimanfaatkan untuk mengetengahkan kandungan sejarah, tokoh negara, budaya serta nilai yang membentuk masyarakat Malaysia.

"Media sosial harus dilihat sebagai senjata untuk meningkatkan nilai persefahaman dalam kalangan masyarakat, bukannya sebagai satu ancaman," katanya.

Dr Sivamurugan berkata patriotisme juga boleh diterjemahkan melalui aktivti harian dengan meningkatkan ilmu, menghormati orang lain, menjaga kebersihan dan tidak menyebarkan fitnah.

"Media sosial berpotensi menjadi wadah untuk generasi muda bukan sahaja memahami sejarah, malah membina naratif Malaysia yang menggalakkan perpaduan dan rasa tanggungjawab terhadap negara," katanya.

Sementara itu, jurutera, Muhammad Syafiq Sidek, 37, berkata kandungan sejarah perlu disampaikan mengikut perkembangan semasa menerusi perkongsian maklumat ringkas dan menarik bagi mendekati generasi muda.

"Menghayati sejarah kemerdekaan penting bagi generasi muda mengenal asal usul negara dan menghargai pengorbanan tokoh terdahulu," katanya.

Bagi suri rumah, Husna Md Ansor, 39, ibu bapa dan pihak sekolah berperanan memberi pendedahan awal kepada anak-anak mengenai simbol serta elemen kenegaraan seperti Jalur Gemilang, lagu kebangsaan dan lagu patriotik.

“Filem klasik seperti Sarjan Hassan yang mempunyai unsur sejarah kemerdekaan juga wajar ditayangkan semula di televisyen supaya generasi muda lebih mengenali sejarah negara,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.