GOMBAK, 27 OGOS: Seramai 1,000 orang pengasuh disasar menerima manfaat latihan menerusi Iltizam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (IMPAK) Selangor sepanjang tahun ini.
Ketua pegawai eksekutif Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) berkata sasaran itu bagi memperkasa ilmu, kemahiran dan keyakinan khususnya dalam aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan (3K).
Menurut Gan Pei Nei, tugas pengasuh turut melibatkan aspek keselamatan, perkembangan emosi, pembentukan sahsiah dan rangsangan pembelajaran sejak usia awal, selain penjagaan asas,
“Program IMPAK Selangor diwujudkan untuk memperkasakan pengasuh dengan ilmu, kemahiran dan keyakinan, khususnya dalam aspek 3K (yang dinyatakan),” katanya.
Beliau berucap pada majlis penutupan Kursus Intensif Perkembangan Kanak-kanak bawah Program IMPAK Selangor Siri 1 dan 2 2026 di Hotel Mercure Selangor Selayang, baru-baru ini.
Disertai seramai 100 peserta, beliau turut mengingatkan pengasuh supaya mengaplikasikan ilmu yang diperoleh sepanjang kursus dan tidak membiarkannya sekadar tersimpan dalam nota atau fail.
Katanya, pengetahuan dan persediaan yang mencukupi penting kerana banyak kejadian tidak diingini dalam pengasuhan boleh dicegah melalui tahap kepekaan serta pemantauan yang baik.
Dalam pada itu, Pei Nei memaklumkan Selangor menyediakan geran bernilai RM2,000 kepada 100 peserta terpilih bagi menambah baik perkhidmatan serta persekitaran pengasuhan di rumah masing-masing.
Jelasnya, pemilihan penerima dibuat berdasarkan beberapa kriteria, termasuk komitmen sepanjang kursus, tahap penglibatan, keadaan tempat jagaan dan kesesuaian cadangan penambahbaikan.
Menurutnya, Sekretariat IMPAK Selangor akan menjalankan proses pengesahan di kediaman atau tempat pengasuhan peserta bagi memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
“Geran ini bukan sekadar angka RM2,000. Ia adalah peluang untuk mewujudkan ruang pengasuhan yang lebih selamat, lebih selesa dan lebih merangsang perkembangan kanak-kanak,” katanya.








