KPM arah sekolah henti aktiviti luar bilik darjah jika IPU lebih 100

26 Ogos 2026, 11:30 AM
KPM arah sekolah henti aktiviti luar bilik darjah jika IPU lebih 100
KPM arah sekolah henti aktiviti luar bilik darjah jika IPU lebih 100

SHAH ALAM, 26 OGOS: Semua institusi pendidikan di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100 perlu menghentikan kegiatan luar bilik darjah susulan keadaan jerebu ketika ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah melindungi warga institusi pendidikan daripada pendedahan kepada kualiti udara tidak sihat.

Menurutnya, institusi pendidikan turut diminta sentiasa peka dan memantau bacaan IPU serta perkembangan terkini menerusi laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Setakat jam 5 petang tadi, sebanyak 11 kawasan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Keadaan berjerebu di sekitar bandar raya Shah Alam susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat. — Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sarawak merekodkan kawasan terjejas paling banyak membabitkan IPD Serian dengan bacaan 165, Samarahan (164), Sri Aman (162) dan Kuching (104).

Di Kuala Lumpur, Cheras merekodkan IPU 157 manakala Batu Muda 145.

Negeri Sembilan pula mencatat bacaan tidak sihat di Nilai (157) dan Seremban (152), sementara di Selangor membabitkan Shah Alam (154) dan Johan Setia (153).

Putrajaya turut merekodkan bacaan IPU 153.

Bacaan IPU antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan berbahaya.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin. Foto KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengaktifkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) susulan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan pesisir Pantai Barat Selangor.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini selepas Johan Setia, Banting, Klang dan Shah Alam merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.

Menurut beliau, sekolah di seluruh negeri sudah diberikan notis mengenai langkah awal yang perlu diambil bagi melindungi pelajar, terutama di kawasan yang merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

“Sekolah, tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak perlu ditutup sekiranya bacaan IPU mencecah 200,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.