SEPANG, 26 OGOS: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana akan diadakan esok bagi meneliti perkembangan jerebu di Selangor serta tindakan segera yang perlu diambil.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin itu bakal membincangkan keadaan semasa secara menyeluruh sebelum arahan dan maklumat terkini dikeluarkan kepada rakyat.
“Saya nak maklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, kita ada berbincang tentang keadaan jerebu di Selangor dan kita memantau dengan teliti.
“Esok, Dato’ Setiausaha akan mengetuai Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana untuk melihat secara terperinci tentang perkara yang berlaku atau pun keadaan jerebu ini di samping akan mengeluarkan maklumat dan arahan terkini khusus kepada rakyat Selangor.
“Kita nak tengok sampai tindakan mana atau pun situasi mana yang semua boleh bertindak untuk sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan insentif haji muassasah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil hari ini.
Terdahulu, Amirudin menyampaikan insentif haji muassasah kepada 259 penerima yang layak.
Turut hadir EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah.
Mengulas keadaan jerebu di negeri ini, Amirudin berkata situasi semasa belum mencapai tahap kritikal, namun bacaan kualiti udara menunjukkan kecenderungan semakin tidak sihat sejak beberapa hari lalu.
“Yang penting kali ini saya nasihatkan mereka untuk mengurangkan aktiviti fizikal luar dan juga kalau ada yang berdepan dengan masalah pernafasan seperti asma dan sebagainya bolehlah dapatkan rujuk doktor dan sebagainya untuk elakkan daripada masalah berlaku.
“Kita belum lagi sampai ke tahap kritikal tetapi ke arah semakin tidak sihat itu makin tinggi dalam dua tiga hari ini.

“Satu kenyataan akan dikeluarkan oleh EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin sebentar nanti untuk menyebut hal itu secara terperinci tetapi kita bincangkan dalam MMK nanti dan yang pentingnya ada esok ada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri untuk meneliti tentang perkembangan jerebu di Selangor,” katanya.
Pagi tadi, lima lokasi di Selangor merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).
Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi di negeri ini iaitu 161, diikuti Shah Alam (158), Banting (151), Klang (135) dan Petaling Jaya (112).
Kesemua bacaan itu berada dalam kategori tidak sihat, iaitu IPU antara 101 hingga 200.
Susulan keadaan tersebut, EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah menyarankan umat Islam, khususnya jemaah masjid dan surau di kawasan terjejas, memakai pelitup muka sebagai langkah melindungi kesihatan.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memperbanyakkan minum air suam, terutama ketika berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara kurang baik.









