SEPANG, 26 OGOS: Kerajaan Negeri Selangor sedang menunggu laporan teknikal berhubung kemalangan membabitkan permainan 'roller coaster' di Taman Tema Sunway Lagoon, Subang Jaya, Sabtu lalu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laporan berkenaan penting bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan, selain memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan.

“Saya sedang menunggu laporan teknikal daripada pihak dan pihak polis akan membuat siasatan yang menyeluruh terhadap insiden tersebut sebab ia telah diambil tugas untuk pihak polis untuk ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serahan Sumbangan Insentif Haji Muassasah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 9 malam Sabtu lalu, seramai 10 pengunjung cedera selepas permainan 'roller coaster' di taman tema berkenaan terlibat dalam kemalangan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat sebelum ini berkata permainan berkenaan ketika kejadian dinaiki 22 pengunjung, termasuk pelancong asing, berusia antara 11 hingga 44 tahun.
Beliau berkata kesemua 10 mangsa yang cedera dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan.
Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan tiada kematian dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Sebelum ini, pengurusan Taman Tema Sunway mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan pihaknya menyediakan bantuan perubatan kepada mangsa yang terlibat.
Pihak pengurusan turut memberi tumpuan kepada kebajikan dan kesihatan mangsa serta terus berhubung dengan mereka dan keluarga sejak insiden berkenaan berlaku.







