SHAH ALAM, 25 OGOS: Taman Tema Sunway mengesahkan kejadian kemalangan yang berlaku di Sunway Lagoon pada Sabtu lalu dan kini menyediakan bantuan perubatan kepada mangsa terlibat.
Pengurusannya memaklumkan sejak insiden berkenaan, pihaknya memberi tumpuan terhadap penjagaan dan kesihatan mangsa selain terus berhubung rapat termasuk keluarga mereka.
“Kami juga sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkuasa yang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tersebut.
“Kami sedia meneruskan kerjasama dengan pihak berkuasa dan individu-individu yang terlibat sepanjang proses ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pengurusan taman tema itu berkata pihaknya memandang serius terhadap kejadian berkenaan dan komuted dalam memastikan semua tarikan dan fasiliti mencapai tahap keselamatan tertinggi.
“Kami kesal dengan kejadian yang berlaku. Kami akan terus menjaga aspek keselamatan dan memberi jaminan aspek keselamatan pengunjung akan terus terjaga,” katanya.
Sementara itu, New Straits Times melaporkan Pengasas Sunway Group, Tan Sri Jeffrey Cheah kesal terhadap kejadian terbabit namun bersyukur kerana tidak melibatkan sebarang kematian.
Beliau berkata pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian selain polis menolak kemungkinan wujudnya unsur khianat.
Beliau turut memaklumkan permainan terbabit ditutup sementara waktu bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh dijalankan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata seramai 10 pengunjung cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan permainan ‘roller coaster’ di sebuah taman tema di Subang Jaya.
Menurutnya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9 malam itu, seramai 22 pengunjung termasuk pelancong asing berusia antara 11 hingga 44 tahun sedang menaiki permainan berkenaan.
Akibat kemalangan itu, 10 mangsa mengalami kecederaan dan terus dibawa ke pusat perubatan sekitar Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan. Bagaimanapun semua mangsa hanya mengalami cedera ringan dan tiada kemalangan jiwa berlaku.







