SHAH ALAM, 25 OGOS: Orang ramai diseru melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan pencemaran udara dan risiko kebakaran.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang Chua Wei Kiat berkata pembakaran terbuka bukan sahaja menghasilkan asap dan bau yang tidak menyenangkan, malah boleh menjejaskan kesihatan penduduk serta meningkatkan risiko kebakaran.
"Jangan biarkan satu api kecil membawa pencemaran kepada seluruh kawasan.
"Pembakaran sampah boleh menyebabkan jerebu dan asap berbahaya, pencemaran udara serta risiko kesihatan," kongsinya di Facebook.
Beliau meminta saksi pembakaran terbuka supaya mencatat lokasi, tarikh dan masa kejadian selain mengambil gambar atau video sebagai bukti sebelum membuat aduan kepada pihak berkuasa berkaitan.
"Sekiranya api semakin marak atau keadaan menjadi berbahaya, sila hubungi 999 atau pihak bomba dengan segera," katanya.
Aduan berkaitan pembakaran terbuka juga boleh disalurkan kepada Jabatan Alam Sekitar di talian 03-8889 1972 atau hotline 1-800-88-2727, manakala aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) boleh dibuat menerusi 03-6126 5800.
Orang ramai turut diseru menguruskan sampah dengan cara yang betul bagi memastikan kebersihan dan keselamatan komuniti terus terpelihara.








