KUALA LUMPUR, 5 OKT: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mempergiat penguatkuasaan terhadap pembakaran terbuka di seluruh negara, dengan 3,567 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 setakat September lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS Azuri Azizah Saedon berkata tindakan itu antara langkah berterusan jabatan membendung pembakaran terbuka yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.
Beliau berkata JAS turut mempertingkatkan pemantauan kualiti udara, pengesanan pencemaran, pengurusan aduan dan pemeriksaan berterusan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu jerebu.
“Melalui Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), pendekatan whole-of-government diterapkan bagi memastikan pengurusan jerebu dilaksanakan secara bersepadu mengikut peranan dan bidang kuasa agensi masing-masing.
“JAS terus memperkukuh langkah pencegahan melalui Rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka di seluruh negara bagi meningkatkan pengesanan awal dan membolehkan tindakan pencegahan sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus JAS Menangani Jerebu: Penguatkuasaan dan Peranan Media di sini hari ini.
Azuri Azizah berkata JAS menerima 11,301 aduan berkaitan pencemaran udara dari Januari hingga 30 Sept, dengan 84.3 peratus daripadanya membabitkan pembakaran terbuka.
Beliau berkata JAS optimis tindakan pembendungan pembakaran dalam negara dapat membantu mengawal kualiti udara domestik berdasarkan data dan pengalaman sebelum ini.
Bagaimanapun, jika berlaku faktor luaran tidak dapat dielakkan, beliau berkata pemantauan berasaskan data Indeks Pencemar Udara (IPU) akan terus dilaksanakan bagi menilai status kualiti udara dan memastikan maklumat tepat disampaikan kepada masyarakat.
Azuri Azizah berkata pemantauan rapi turut diberikan terhadap kawasan berisiko tinggi, khususnya tanah gambut yang mudah terbakar, dengan 1,524.13 hektar daripada kira-kira 2.56 juta hektar tanah gambut di negara ini direkodkan terbakar dari Januari hingga September lepas.
“Sepanjang tempoh itu, JAS melaksanakan 5,647 rondaan dan 357 penerbangan dron selain membangunkan 570 infrastruktur di kawasan tanah gambut bagi mengawal kebakaran termasuk sekatan saliran, telaga tiub, kolam takungan dan menara tinjau,” katanya.
Sementara itu, Azuri Azizah berkata pembakaran pangkasan seperti daun dan sisa pokok daripada aktiviti berkebun kecil di kawasan luar bandar dibenarkan dalam keadaan tertentu, namun aktiviti itu perlu dielakkan ketika jerebu dengan kesedaran diberikan kepada penduduk terlibat.
Pembakaran ketika jerebu, menurut beliau boleh menjejaskan kualiti udara dan memberikan kesan kepada orang ramai, khususnya mereka yang menghidap asma.
Bagaimanapun, beliau berkata pendekatan lebih tegas dikenakan terhadap pembakaran di kawasan industri, kilang dan tapak sampah termasuk menyediakan kertas siasatan untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan mahkamah.







