Terjemah kitab tangani cabaran ummah

19 Feb 2026, 7:00 AM
Terjemah kitab tangani cabaran ummah

PETALING JAYA, 19 FEB: Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) memberi tumpuan kepada penerbitan dan penterjemahan karya ilmu turath dan khazanah dunia Islam melalui kaedah terjemahan dinamik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farhan Affandi berkata konsep penerbitan kitab bukan sekadar menterjemah teks secara harfiah, sebaliknya memberi penekanan kepada kefahaman pembaca.

“IBDE fokus kepada karya turath dan kitab-kitab Islami penting yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan yang tepat, indah, santai serta mudah difahami," katanya.

Menurut beliau, pemilihan sesebuah kitab pula bukan berdasarkan nilai populariti tetapi kepentingannya dalam menjawab kemelut kerohanian dan cabaran umat Islam pada masa kini.

Buku biografi Suri Hati Nabi terjemahan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) mencatat jualan tertinggi sejak hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Pengunjung tidak melepaskan peluang mendapatkan naskhah tersebut ketika tinjauan Media Selangor di reruai IBDE pada 25 Mei 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Kita memilih kitab yang mempunyai autoriti, tidak kontroversi serta selari dengan tradisi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan sesuai dibaca oleh masyarakat (rantau ini).

“Selain itu, setiap terjemahan dibuat secara langsung daripada sumber asal, bukan daripada terjemahan kedua atau ketiga, (ini) bagi memastikan ketepatan kandungan,” katanya lagi.

Farhan juga menegaskan setiap kitab terjemahan IBDE melalui proses penilaian ketat oleh panel pakar bagi menjamin kandungannya tidak menyimpang dan selaras amalan Islam di Malaysia.

Katanya, setiap karya turath mahupun kitab utama akan dinilai panel penilai mengikut bidang kepakaran masing-masing sebelum diterbitkan kepada pembaca umum.

“Terjemahan kitab Ihya’ Ulumuddin sebagai contoh dikendali oleh panel penilai khusus termasuk Mufti Wilayah Persekutuan Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Ali @ Fadzil dan bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Akmal Khuzairy Abd Rahman.

“Mereka meneliti kandungan supaya terjemahan tepat dan tidak lari maksud asal penulis. Ini kerana kitab lama melibatkan perkara besar seperti akidah, hukum-hakam, ibadat dan muamalat.

"Jadi penelitian dibuat dengan lebih rapi melalui panel yang dibentuk,” katanya sambil menjelaskan sebahagiannya dengan kerjasama Media Selangor.

Farhan menjelaskan IBDE telah menterjemah hampir 120 judul buku, lebih 60 daripadanya karya Islami seperti kitab turath sejak 2017 hasil geran yang disediakan Kerajaan Selangor.

“Kita menterjemah buku sekitar 10 hingga 15 judul setiap tahun. Untuk 2025, kita terjemah lebih 20 tajuk tetapi untuk naskhah Islami merangkumi kitab-kitab turath antara lima hingga enam judul,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Selangor menyokong kuat usaha menterjemah kitab melalui pemberian geran keseluruhan RM9 juta sejak 2017 iaitu sekitar RM1 juta setahun selain bentuk promosi.

Selain kitab, IBDE juga rancak menerbitkan buku terjemahan pelbagai genre meliputi sastera, sejarah dan falsafah termasuk sebahaginnya naskhah klasik berusia ribuan tahun.